March 7, 2013

MENCARI MAKNA BAHAGIA



'SETIAP orang adalah arkitek yang melakar kebahagiaan dirinya sendiri'

Kenyataan ini tidak mungkin dapat disangkal sesiapa. Ini adalah kenyataan yang amat benar dan bertepatan dengan kehidupan setiap manusia. Hanya orang itulah sahaja yang mampu melakar hala tuju kehidupannya dan mencipta kebahagiaan idamannya. 

Kejayaan yang dicapai setelah melepasi pelbagai rintangan dan dugaan adalah kejayaan yang membahagiakan. Namun adakah kebahagiaan itu akan kekal selama-lamanya atau hanya sementara?

Setiap manusia menginginkan kebahagiaan yang dikecapi kekal sepanjang hayatnya. Tiada siapa yang mahukan kebahagiaan itu hanya sementara. Tetapi siapakah kita sebagai manusia yang dapat menahan kebahagiaan bertukar menjadi kedukaan?

Lantaran itu manusia wajib mensyukuri kebahagiaan yang dikecapinya. Rasa syukur itulah yang akan mempastikan rasa bahagia itu kekal sepanjang masa. Tetapi setakat manakah rasa syukur itu benar-benar dapat dicetuskan? Syukur amat mudah diucapkan tetapi sejauh mana dapat dihayati?

Firman Allah SWT di dalam Surah Al-Baqarah ayat 152 bermaksud : "Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu (dengan mematuhi hukum dan undang-undangKu), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu)" 

Sabda Rasulullah S.A.W bermaksud : Lihatlah orang yang di bawah kamu dan jangan melihat orang yang di atas kamu kerana dengan (melihat ke bawah) lebih pantas untuk kamu tidak meremehkan nikmat Allah yang dilimpahkan-Nya kepada kamu.”(HR. Al-Bukhari dan Muslim)

Semoga kita sama-sama dapat mengecapi kebahagiaan yang kita idamkan sepanjang masa sepanjang hayat kita.

No comments:

Post a Comment