February 24, 2011

PEMBENTUKAN KEPIMPINAN

Tajuk Ceramah :  PEMBENTUKAN KEPIMPINAN
Tarikh : 24 Februari 2011 (Khamis)
Tempat : Hotel Darulaman, Jitra, Kedah
Peserta : Pelajar Pra-U, SMK Pulau Nyior, Jitra, Kedah (63 orang)
Masa : 2.30 petang - 5.30 petang
Terima kasih kepada semua pelajar, guru kaunseling serta Cikgu Jamaludin Mohd Nor.




Kesemua peserta telah memberikan perhatian mendalam terhadap isi ceramah. Masing-masing telah mengikutinya dengan tekun dan penuh minat. Terima kasih kepada para peserta sekalian.

Diharapkan semua peserta mendapat manfaat daripada ceramah yang disampaikan. Walaupun ada ketikanya suasana di dalam dewan menjadi hingar bingar dengan gelak ketawa akibat kelucuan, tetapi semua peserta jangan anggap cerita-cerita lucu itu hanyalah lelucuan semata-mata. Perlu diambil intipati dan pengajaran dari kisah-kisah yang disampaikan itu.

Semoga para peserta berjaya di dalam pelajaran dan kehidupan masing-masing pada masa hadapan.

February 10, 2011

BEBERAPA PROGRAM YANG TELAH DISEMPURNAKAN

CERAMAH 'PENILAIAN PRESTASI' UNTUK PEGAWAI-PEGAWAI AGAMA ISLAM NEGERI KEDAH DARUL AMAN







CERAMAH MOTIVASI 'MENGENAL DIRI KE ARAH KECEMERLANGAN'
UNTUK PELAJAR-PELAJAR KOLEJ MARA KUALA NERANG,
KEDAH DARUL AMAN




CERAMAH 'MEMBINA MINDA KELAS PERTAMA' UNTUK
STAF JABATAN KEBAJIKAN MASYARAKAT NEGERI KEDAH

CERAMAH MOTIVASI 'MEMBENTUK KECEMERLANGAN DIRI'
UNTUK PELAJAR POLITEKNIK SEBERANG PRAI, PULAU PINANG.



February 1, 2011

KENALI DIRI ANDA SENDIRI

JIKA diamati di dalam kehidupan sehari-hari, secara umumnya terdapat tiga (3) golongan manusia berdasarkan tahap masalah yang dihadapinya serta kesenangan yang dinikmati, iaitu:

1.     Orang yang menghadapi sedikit masalah, tetapi menikmati banyak kesenangan;
2.     Orang yang menghadapi sama banyak masalah serta menikmati kesenangan;
3.     Orang yang menghadapi banyak masalah, tetapi menikmati sedikit kesenangan.

Orang yang berada di dalam golongan pertama lazimnya merasa bahawa diri mereka amat beruntung dan hebat kerana sangat mudah menikmati kesenangan dan kejayaan. Akibat daripada itu ramai dari golongan ini memiliki sifat sombong yang boleh mengakibatkan kehancuran kepada diri mereka sendiri.  Malah sifat sombong itulah yang akan menimbulkan kemungkinan mereka mendapat lebih banyak masalah di kemudian hari nanti. Orang-orang di dalam golongan ini juga kebiasaannya tidak mahu mendengar pendapat dan pandangan orang lain. Dengan sifat sombong mereka suka merendah-rendahkan apa sahaja pandangan, pendapat malah nasihat orang lain terhadap mereka. Mereka juga sukar untuk bersyukur di atas apa yang mereka perolehi dan miliki atau nikmati. Jarang sekali mereka menyedari bahawa semua kemudahan, kesenangan serta nikmat yang ada pada dirinya datangnya dengan kehendak Allah melalui berbagi cara termasuklah bantuan orang lain. Semuanya itu adalah semata-mata untuk mengajar mereka supaya tidak mudah merasa sombong dengan apa yang mereka miliki.

Orang yang berada di dalam golongan kedua pula adalah orang yang menyedari bahawa mereka memerlukan orang lain untuk membantu bagi menyelesaikan masalah yang mereka hadapi. Bukan itu sahaja,malah mereka juga memerlukan sokongan orang lain untuk mencapai kesenangan atau kejayaan. Kebanyak orang di dalam golongan ini jarang bersifat sombong atau tinggi diri. Mereka sedar siapa mereka kerana mereka memiliki kekurangan yang memerlukan sokongan dan bantuan orang lain. Apabila mereka mendapat bantuan orang lain, masalah yang mereka tanggung akan menjadi ringan dan mudah diselesaikan. Kejayaan atau kesenangan pun mudah menyusul. Oleh itu mereka yang tergolong di dalam golongan kedua ini haruslah berhati-hati dan bijak memilih bentuk bantuan atau pertolongan orang lain bagi mengatasi mana-mana masalah yang mereka sedang hadapi. Hal ini adalah supaya mereka tidak terjebak di dalam keadaan yang boleh menimbulkan berbagai kebimbangan pada masa hadapan.

Manakala orang yang berada di dalam golongan ketiga pula adalah terdiri daripada orang-orang yang umumnya tidak percaya terhadap orang lain. Mereka merasa orang tidak pernah mahu membantu mengatasi masalah-masalah yang mereka hadapi. Orang-orang di dalam golongan ini sukar mempercayai orang lain sehingga beranggapan bahawa orang lain tidak akan mengerti masalah yang mereka hadapi dan tentu sekali tidak akan dapat membantu menyelesaikan masalah tersebut. Sikap tidak mempercayai orang lain itu amat merugikan golongan ketiga ini. Mereka tidak dapat meluahkan perasaan dan berkongsi masalah yang mereka hadapi dengan orang lain. Jauh lebih malang lagi sebilangan besarnya tidak mempunyai rasa percaya kepada kebolehan diri sendiri. Untuk itu orang dalam golongan ini harus mulai belajar mempercayai orang lain atau mencari teman untuk berkongsi masalah, agar dengan itu akan dapat menyelesaikan sendikit demi sedikit masalah yang dihadapi mereka.

Sekarang, tanyalah diri anda sendiri. Adakah anda berada di dalam golongan pertama atau kedua atau ketiga?

Namun, biar di dalam golongan mana sekalipun anda berada, anda tidak harus merasa puas dengan apa yang anda lakukan. Anda perlu berusaha keras untuk berubah menjadi seorang manusia yang lebih baik dari masa ke semasa.

ANDA KENAL DIRI ANDA SENDIRI?

TANPA kita sedari sebenarnya setiap daripada kita adalah merupakan modal yang amat berharga. Itulah hakikatnya! Namun tidak ramai yang mengenali diri mereka sendiri yang merupakan modal untuk menjana kekayaan dan keuntungan.

Amatlah rugi seseorang yang tidak mengenali dirinya sendiri. Orang yang tidak mengenali dirinya atau tidak berusaha untuk mengenali diri tergolong di dalam golongan manusia yang rugi. Kenapa?

"Mengenal diri adalah permulaan segala ilmu". Kata-kata bijak pandai ini amat dalam dan luas maksudnya. Mutiara kata tersebut membawa makna jika seseorang itu ingin berjaya, dia perlu mempunyai ilmu dan untuk mendapatkan segala ilmu tersebut, dia perlu mengenali dirinya terlebih dahulu. Itulah permulaannya: mengenali diri.

Proses mengenal diri sendiri agak sukar jika pemilik diri itu sendiri tidak suka untuk melihat ke dalam dirinya. Apatah lagi jika dia menutup setiap ruang untuk orang lain membongkar rahsia yang tersembunyi di dalam dirinya. Rugilah dia jika dia tidak mengenali siapa dirinya yang sebenar kerana dia akan sukar untuk mencari ilmu pengetahuan sebanyak mungkin bagi meningkatkan harga dirinya sendiri!

Setiap manusia mempunyai empat komponen utama, iaitu Jasad, Minda (Aqal), Roh dan Nafsu. Kombinasi empat elemen tersebut membentuk sekujur manusia. Tanpa jasad sebagai manusia, ia bukan manusia!. Jika jasadnya manusia tetapi tiada Minda serta Roh dan Nafsu, ia tetap bukan manusia! Lantas, seorang manusia itu mesti terjelma empat elemen tersebut secara jelas dan nyata.

Lihatlah ke seluruh jasad yang dijadikan Allah s.w.t ini, betapa indah dan lengkapnya ia. Dari hujung rambut hingga ke hujung jari kaki, segalanya lengkap dan saling melengkapi di antara satu anggota dengan anggota yang lain. Mata yang terletak di tempatnya, hidung yang sedemikian bentuknya serta mulut yang lengkap dengan lidah serta giginya. Begitulah anggota-anggota jasad yang lain. Semua anggota itu dijadikan dengan tugas dan peranan masing-masing yang tersendiri.

Malah jika diselami ke dalam jasad, kita menemui berbagai kehebatan yang dianugerahkan Allah s.w.t kepada setiap manusia. Sejumlah tulang yang kuat dan teguh untuk menjadikan jasad itu tegak berdiri. Urat saraf yang sedemikian banyak untuk mengalirkan darah ke seluruh tubuh badan. Lihat juga berapa panjangnya urat saraf itu jika diukur dari hujung ke hujungnya. Segala itu adalah kehebatan yang tiada tolok bandingnya.

Namun, jika kita gagal untuk mengenali diri kita secara fizikalnya, kita sudah dianggap gagal untuk mengenali diri sendiri secara keseluruhannya. Kita akan menghadapi kesukaran untuk memahami emosi diri, sikap serta pandangan hidup kita sendiri. Atau paling tidak kita berada di dalam situasi tercari-cari arah sebenarnya kehidupan yang mahu dilayari.

Lalu, kita perlulah belajar untuk mengenali diri kita sendiri.