March 4, 2011

2 JAM DI INSANIAH, ALOR SETAR










MENYANGGUPI jemputan pada saat-saat akhir sebenarnya mencemaskan saya. Tetapi semasa saya dihubungi AJK Akademi Seni dan Penulisan Kreatif, Kolej Universiti INSANIAH, Alor Setar, Sdr Adibah pada petang kelmarin saya rasa terpanggil untuk bersetuju memberikan satu ceramah pada pukul 3.00 petang hari ini, 4 Mac 2011.

Lalu seusai solat Jumaat, saya bergegas ke INSANIAH setelah pada sebelah paginya saya berada di Kem Belantara Elit bersama pengawas-pengawas SMK Tunku Bendahara, Kodiang sehingga jam 11.30 pagi.

Sewaktu saya sampai di depan bilik kuliah D104, saya disambut oleh seorang AJK penganjur, seorang anak muda berkopiah yang kelihatan amat berhemah dan bersopan. Bilangan peserta yang dimaklumkan pada saya pada petang kelmarin dan malamnya, ialah seramai 30 orang, namun kehadiran pada petang tadi kurang daripada bilangan yang dinyatakan. Apapun, Alhamdulillah kerana majlis dapat dijalankan dengan sempurna dan memuaskan semua pihak.

Saya berceramah tentang 'Asas Penulisan Skrip Persembahan Teater' sepertimana yang dihajati oleh pihak penganjur. Saya menyentuh tentang definisi skrip serta teater itu sendiri sebelum saya bercerita tentang perkembangan teater di negeri Kedah yang bermula seawal tahun 1970-an dahulu lagi. Saya perkenalkan kepada para peserta beberapa kumpulan teater yang bergiat aktif pada era tersebut termasuk juga beberapa nama individu yang menyumbang kepada gahnya teater di Kedah pada waktu itu.

Selanjutnya saya membicarakan komponen-komponen penting yang perlu ada di dalam sesebuah skrip persembahan teater. Perkara pokoknya ialah perlu ada cerita yang mahu ditulis atau diolah menjadi skrip persembahan. Tanpa cerita, skrip tidak mungkin dapat ditulis. Begitu juga dengan olahan jalan ceritanya, yang bermula dari satu titik berganjak ke titik kedua, ketiga dan seterusnya. Jalan cerita seharusnya tidak berputar belit sehingga mengganggu kefahaman pembaca/penonton nantinya.

Aspek dialog juga perlukan perhatian mendalam di mana kekuatan cerita tidak akan tertonjol tanpa dialog-dialog yang kuat, padat dan difahami. Gaya bahasa memainkan peranan penting di dalam menghasilkan dialog-dialog di dalam skrip. Seseorang penulis perlu mahir dan mampu mengetengahkan gaya bahasa yang segar dan menarik sesuai dengan watak-watak yang dilahirkan. Gaya bahasa juga akan dapat membantu menjadikan watak-watak lebih terserlah apabila pementasan diadakan.

Di dalam skrip juga perlu ada gambaran-gambaran yang membantu memahamkan penonton tentang cerita yang ingin dipertontonkan. Selain itu, gambaran-gambaran suasana yang ditulis di dalam skrip dapat membantu Pengarah Persembahan memahami skrip dengan lebih jelas lagi. Juga ia akan membantu pereka set, juruteknik, pemuzik dan sebagainya untuk menterjemahkan maksud cerita menjadi lebih bersifat 'real'.

Saya dapati ada bakat-bakat di kalangan peserta yang boleh diasah dan diasuh. Berdasarkan latihan singkat menulis skrip yang saya berikan, beberapa orang peserta telah mampu menghasilkan permulaan cerita yang agak baik. Mereka perlu diberikan pendedahan yang lebih sistematik dan tersusun supaya bakat kreatif mereka itu dapat diketengahkan.

Majlis disusuli dengan sebuah persembahan deklamasi puisi yang menarik oleh salah seorang mahasiswa. Saya yakin jika dia diasuh dengan baik, dia mampu muncul sebagai deklamator yang berjaya. Kemudiannya dipersembahkan juga video tentang Akademi Seni dan Penulisan Kreatif, INSANIAH untuk tontonan.

Sewaktu saya minum bersama Pengerusi Akademi Seni dan Penulisan Kreatif dan dua orang lagi AJKnya, saya mendapat maklum bahawa salah seorang peserta telahpun menghasilkan dua buah novel yang diterbitkan oleh syarikat penerbitan terkemuka, iaitu PTS Publishing Sdn Bhd. Manakala salah seorang AJK pula telah menghasilkan beberapa buah puisi yang telah tersiar di dalam majalah dan akhbar. Saya amat kagum dengan kebolehan mereka. Alangkah ruginya jika bakat mereka terabai dan terbiar tanpa dipupuk dengan sempurna.

Saya berharap akan ada lagi peluang untuk saya mendekati mereka melalui sesi-sesi seumpama ini mungkin di dalam bidang penulisan kreatif yang lain seperti puisi, cerpen ataupun novel.

Alhamdulillah, majlis berjalan dengan sempurna. Saya doakan Akademi Seni dan Penulisan Kreatif INSANIAH akan terus giat menjalankan kegiatannya dari masa kesemasa.

JATI DIRI DAN KEPIMPINAN DALAM KERJA BERPASUKAN








MULAI pukul 8.30 pagi, 4 Mac 2011 saya berada di Kem Belantara Elit, Kampung Geting Palas, Nako Nambua, lebih kurang 12 km dari Kuala Nerang, Kedah untuk menyampaikan ceramah kepada 38 orang pengawas SMK Tunku Bendahara, Kodiang yang sedang mengikuti program 'team building' kendalian Puncak Iltizam Training & Consultancy.

Saya menyampaikan ceramah bertajuk 'Jati Diri dan Kepimpinan Dalam Kerja Berpasukan' yang mengupas betapa pentingnya setiap insan mempunyai jati dirinya sendiri, tidak terpengaruh dengan segala anasir serta pengaruh luar yang merosakkan. Tonggak jati diri hanya akan terbina apabila kita mengenali diri sendiri terlebih dahulu, kemudiannya menyedari pentingnya menjaga nama baik serta kehormatan diri. Namun, faktor utama yang paling penting sekali ialah mengubah sikap diri sendiri terlebih dahulu iaitu mengikis sikap-sikap negatif dan menggantikannya dengan sikap-sikap positif yang lebih menguntungkan diri.

Manakala seseorang yang menjadi pemimpin haruslah memiliki kualiti diri di samping mempunyai ciri-ciri kepimpinan seperti kematangan berfikir serta bertindak, eksklusif dari segi memiliki nilai-nilai istimewa dan tersendiri serta mesra, pintar, inovatif, amanah dan nilai-nilai murni yang disanjungi.

Di dalam melaksanan tugas-tugas yang diamanahkan seorang pemimpin itu perlulah memahami peranannya yang meliputi 5P; iaitu Pembimbing, Perunding, Pendorong, Perancang dan Pemimpin. Mengamalkan prinsip 5P itu akan menjadikan seseorang pemimpin dihormati oleh pengikut-pengikutnya.

Walau bagaimanapun, untuk menjadi pemimpin seseorang itu perlu terlebih dahulu mampu untuk memimpin dirinya sendiri iaitu dengan mempunyai jati diri yang kukuh. Apabila anda mempunyai jati diri yang kukuh, anda mampu memimpin diri sendiri dan seterusnya pasti akan menjadi pemimpin yang baik di dalam sesebuah pasukan.

Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat, terutama para pelajar sekalian yang telah memberi tumpuan sepenuhnya sepanjang ceramah disampaikan. Semoga anda semua diberkati dan berjaya di dalam pelajaran serta kehidupan pada masa hadapan.