June 12, 2012

TEKANAN PERASAAN


TEKANAN perasaan atau lazimnya disebut 'stres' sering dialami oleh setiap orang. Tidak terkecuali, sama ada orang itu pekerja bawahan atau pun pegawai atasan. Orang miskin atau pun kaya, hatta jutawan sekalipun pasti mengalami stres pada suatu-suatu masa di dalam kehidupan.

Stres adalah tindak balas terhadap sesuatu keadaan yang berlaku ke atas diri seseorang. Stres berlaku seiring dengan perwatakan diri orang tersebut yang berpunca daripada konflik dalaman, konflik luaran serta gaya hidupnya.

Konflik dalaman yang sering menjadi punca terjadinya stres ialah masalah lunturnya keyakinan diri, rendah diri, rasa cemas atau ragu-ragu, takut menghadapi kegagalan dan kurang yakin terhadap keselamatan yang diperlukan. Selain daripada itu faktor kesihatan juga merupakan konflik dalaman yang menyumbang kepada berlakunya stress. 

Manakala konflik luaran termasuklah masalah rumah tangga, kematian orang tersayang, perhubungan sesama ahli keluarga atau jiran tetangga dan kedudukan kewangan yang meruncing. Kesemua konflik tersebut menjadikan tahap stres semakin memuncak.

Gaya hidup yang tidak mengamalkan gaya hidup sihat juga menyemarakkan lagi berlakunya stres. Bukan setakat kurang bersenam secara konsisten, malah tabiat merokok, meminum minuman keras, makan makanan tidak berkhasiat, kurang rehat dan tidak cukup tidur menyumbang kepada berlakunya stres yang lebih serius.

Stres akan mengganggu fizikal, mental dan emosi.

Elakkan stres supaya hidup sentiasa sejahtera, bahagia dan tenteram

June 9, 2012

PELUANG KEDUA


BENARKAH ada peluang kedua di dalam kehidupan kita?

Ada orang berkata peluang yang datang hanya sekali sahaja, jika kita tidak mengambilnya ia tidak akan datang untuk kali kedua.

Apabila seseorang itu menemui kegagalan dia akan merasa tertekan dan kecewa. Perasaan itu akan berlarutan sehingga tiba suatu ketika apabila orang itu dapat melupakan peristiwa pahit yang telah dialaminya. Namun yang pasti kesan yang dirasainya tidak mungkin akan hilang buat selama-lamanya.

Ada orang yang terus tewas kepada kegagalan itu. Ada pula yang tidak mahu menyerah kalah dengan mudah. Orang yang tewas akan berundur ke belakang, menyembunyikan diri dan tidak berani lagi berhadapan dengan cabaran. Manakala orang yang tidak menyerah kalah akan bangun semula untuk menghadapi cabaran baharu.

Bagi orang yang bangun semula itu adakah dia mendapat peluang kedua atau sekadar menyambung kembali peluang yang terhenti seketika itu?

Semuanya bergantung kepada diri kita sendiri. Jika anda menganggap peluang itu hanya datang sekali sahaja, kebangkitan semula setelah mengalami ketewasan pertama adalah untuk menyambung peluang yang terhenti sebentar. Peluang itu tetap peluang yang sama, peluang yang telah ditetapkan kepada anda, bukan peluang baharu. Tetapi dengan cara dan pendekatan baharu untuk menggarap peluang tersebut. Jangan melakukan cara yang sama yang mengakibatkan ketewasan dahulu.

Apa pun, segalanya berada di dalam diri anda sendiri! Tingkatkan keyakinan diri, percaya kepada kebolehan yang dianugerahkan dan jangan berputus asa.

Satu kilogran batu dan satu kilogram kapas sama beratnya. Tetapi berbeza saiz.