April 4, 2011

SUARA PERTAMA

Gambar hiasan

PAGI tadi saya menelefon telefon bimbit seorang sahabat lama tetapi dia tidak menjawab. “Mungkin dia sedang bermesyuarat agaknya”, bisik hati kecil saya. Sebagai seorang Arkitek, rakan lama saya itu sering menghadiri mesyuarat di merata tempat di mana ada projek pembangunan yang melibatkan firmanya sebagai konsultan.

Saya dail pula nombor telefon pejabatnya. Setelah berdering beberapa kali, talian kedengaran diangkat. Saya mendengar dengan penuh harapan jawapan yang akan diterima. Tetapi malang sekali suara yang menyambut panggilan saya itu terlalu lemah dan hampir tidak kedengaran.

Lalu saya terpaksa meninggikan suara bertanya benarkah itu pejabat rakan tersebut. Beberapa detik kemudian barulah kedengaran suara yang semakin jelas.

Saya hairan kenapa kakitangan yang menyambut panggilan telefon saya itu begitu tidak bermaya? Apakah yang menyebabkan dia bersuara begitu perlahan sekali sehingga saya terpaksa meninggikan suara bertanya kalau-kalau saya tersilap membuat panggilan ke pejabat lain? Mungkin ada sebab tersendiri kakitangan tersebut bersikap sedemikian.

Walau apapun, perkara sebegitu tidak seharusnya berlaku. Penyambut panggilan telefon (telefonis) atau penyambut tetamu di mana-mana pejabat tidak sewajarnya menyembunyikan suaranya sehingga menyukarkan pemanggil mendengar butir katanya. Dia sebaliknya memberikan kesan pertama kepada pemanggil melalui intonasi suaranya kerana itu akan memberikan kesan seterusnya.

Dengan suara yang malap dan hampir tidak kedengaran akan membuatkan pemanggil merasa seakan-akan pejabat tersebut tidak berpenghuni. Suara tidak bermaya kakitangan tersebut akan menyelinap ke hati pemanggil yang akan terus membuat pelbagai andaian negatif tentang pejabat tersebut.

Telefonis atau penyambut tetamu sewajarnya mempunyai sikap bahawa setiap pemanggil itu adalah pembawa rezeki kepada syarikat tempat dia bekerja itu. Dia sepatutnya mengangkat telefon dan menjawab panggilan dengan suara yang manis serta bertenaga. Menyapa si pemanggil dengan sebutan yang jelas dan bersopan. Tidak rugi jika dia bersuara sedemikian kerana itu akan menggambarkan sikapnya terhadap tugas yang diberikan kepadanya.

Sebelum saya meletakkan ganggang telefon, sempat saya berpesan kepada telefonis di pejabat sahabat lama saya itu, “lain kali jawab panggilan telefon dengan suara yang lebih ceria, jangan macam berbisik sahaja”. Saya berharap teguran saya itu akan mengubah sikap kakitangan tersebut.