February 15, 2012

TERLALU NIPIS BEZANYA


TERLALU 
nipis batas yang membezakan di antara Kejayaan dan Kegagalan. Batas yang nipis itu menentukan seseorang itu melonjak ke takah yang lebih tinggi ataupun merudum ke tangga terbawah sekali.

Mungkin ada orang yang mengatakan, "aku sudah berusaha bersungguh-sungguh tetapi masih belum berjaya". Atau mungkin ada orang lain pula yang akan mengatakan, "aku masih tidak berjaya walaupun setelah berusaha sekian lama".

Malah berbagai lagi ungkapan yang diluahkan sesesiapa sahaja apabila tidak berjaya mencapai matlamat yang diidamkan. Ungkapan-ungkapan tersebut hanyalah merupakan keluhan yang tidak memberi sebarang makna selain daripada rasa kecewa dan putus asa.

Jika diperhatikan secara mendalam, setiap usaha yang dilakukan pasti akan menemui kejayaan, baik kecil mahupun besar. Kejayaan pasti akan menyusul setelah usaha digemblengkan bersungguh-sungguh dan dilakukan dengan penuh istiqamah. Itu adalah fitrah yang tidak dapat disangkal.

Namun kejayaan yang diidamkan tidak mungkin tercapai jika tidak disusuli dengan usaha yang tidak kenal putus asa. Jika seseorang itu berhenti berusaha itulah detik dia menemui kegagalan. Tetapi jika dia terus berusaha kejayaan sentiasa mengiringinya.

February 4, 2012

ANDA TIDAK GAGAL

ANDA tentu pernah mendengar kata-kata 'sekali gagal tidak bermakna anda gagal selama-lamanya' ataupun 'jangan takut kepada kegagalan kerana ia adalah langkah pertama menuju kejayaan'. Malah banyak lagi kata-kata perangsang berkaitan dengan kegagalan dan kejayaan.

Anda juga mungkin pernah mengalami situasi seumpama itu di dalam kehidupan anda. Anda mungkin pernah gagal di dalam peperiksaan atau temu duga pekerjaan atau percintaan atau kerukunan rumah tangga. Bukan anda sahaja, ramai lagi manusia lain yang pernah mengalami kegagalan di dalam hidup masing-masing.

Namun, saya kurang gemar menggunakan kalimat 'gagal' kerana ia membawa kesan yang mendalam di dalam diri kita. Seorang anak sekolah umpamanya, jika diucapkan kata 'gagal' akan mempengaruhi pencapaian akademiknya. Mindanya pasti akan merakamkan kata 'gagal' itu dan seterusnya membenihkan kepercayaan bahawa dia adalah seorang tidak berjaya di dalam pelajarannya.

Begitu juga jika seorang anak muda yang sering disogokkan dengan kata 'gagal' pasti akan merasa kecewa dan tidak berdaya untuk melepasi sebarang cabaran yang dihadapinya. Dia akan menjadi seorang remaja yang tidak mempunyai keyakinan diri yang tinggi serta berjiwa lemah dan mudah menyerah.

Lantaran itu kita perlulah mengubah kata 'gagal' kepada kata-kata yang lebih memberangsangkan supaya dengan itu minda kita akan merakam serta menyimpannya sebagai modal bagi membina kekuatan diri. Ibu bapa perlu mengambil perhatian mendalam agar tidak mengucapkan kata-kata negatif kepada anak-anak. Jangan sekali-kali mengucapkan kata-kata negatif itu kepada anak-anak. Berilah mereka semangat dengan kata-kata positif agar minda dan jiwa anak-anak membesar dengan rangsangan yang kuat untuk menjadi seorang yang berjaya.