March 12, 2013

HARGAI KESIHATAN

KESIHATAN adalah sesuatu yang amat bernilai, tidak mungkin dapat diganti jika ia sudah terganggu. Justeru, tidak ramai yang menghargai kesihatan melainkan apabila tiba masa merasai kesakitan.

Hidup akan menjadi lebih bahagia jika kita berada pada tahap kesihatan yang terbaik. Baik sihat pada jasad tetapi juga minda. Apabila jasad jasad dan minda sihat, keseluruhan kehidupan kita akan menjadi sihat dan sejahtera.

Namun, situasi tersebut kini sudah sukar berlaku. Dalam zaman serba maju, manusia menjadi terlalu sibuk dengan pelbagai masalah. Selain bekerja mencari rezeki, masing-masing berlumba-lumba untuk merasai hidup yang lebih selesa. Tetapi kelesesaan hidup itu diukur dari aspek kekayaan sahaja. Lantas mereka lupakan aspek kesihatan.

Makan minum sudah tidak diberi perhatian utama. Apa sahaja yang boleh dimakan atau diminum untuk mengenyangkan perut, itu sudah memadai. Malah ada juga yang mempunyai kemampuan wang yang banyak, akan berbelanja besar untuk makan minum. Pelbagai jenis makanan dan minuman menjadi juadah sehingga menyeksa perut dan organ-organ dalaman yang lain.

Akibatnya apabila usia semakin meningkat, tahap kesihatan semakin menurun. Penyakit demi penyakit akan hinggap bersarang di dalam jasad. Sakit jantung, sakit hati, sakit usus, sakit buah pinggang dan sebagainya menyusul satu persatu. Ketika itu wang sudah tidak bermakna lagi. Jika ada segunung emas sekalipun, kemewahan itu sudah tidak bermakna lagi. Apa tidaknya, wang boleh membeli pelbagai jenis makanan, tetapi makanan itu sudah tidak bermakna akibat sudah tidak boleh dimakan lagi.

Hargailah kesihatan, ia anugerah Allah S.W.T yang amat tinggi nilainya. Jangan dibiarkan sehingga anugerah itu ditarik kembali ke pangkuan-Nya.

No comments:

Post a Comment