January 8, 2011

LANGKAH PERTAMA

"JIKA anda berani memulakan langkah pertama, itu adalah petanda yang anda benar-benar berani menghadapi kegagalan demi untuk mengecap kejayaan".

Ya, setiap kejayaan yang diraih atau dikecapi permulaannya dimulai dengan langkah pertama. Tanpa langkah pertama tidak mungkin akan ada langkah-langkah selanjutnya. Tanpa langkah-langkah yang menyusul tidak mungkin ada kejayaan yang diperolehi.

Langkah pertama itu amat penting kerana apabila ia mula diatur, itu menandakan telah bermulalah suatu perjalanan. Perjalanan yang akan menempuhi pelbagai cabaran dan dugaan sebelum tiba di garis kejayaan.

Lantas apabila anda memulakan langkah yang pertama, itu bermakna anda sudah bersedia untuk menghadapi rintangan dan cabaran demi mengecap suatu kejayaan. Anda sebenarnya sudah bersedia untuk menjadi JUARA!

Namun, sebelum memulakan langkah yang pertama itu, anda seharusnya sudah lebih bersedia kerana jika langkah pertama sudah diatur, jangan sekali-kali berpatah balik. Anda harus sudah bersedia mental, fizikal, emosi dan spiritual bahawa langkah pertama itu tidak menjanjikan kejayaan jika tidak disusuli dengan cabaran dan dugaan. Lalu mental, fizikal, emosi dan spiritual anda seharusnya mantap dan di dalam keadaan terbaik. Tanpa kekuatan anda mungkin tumbang di tengah perjalanan.

Ayuh, persiapkan diri. Mulakan melangkah dengan penuh yakin. Tanam kepercayaan bahawa perjalanan ini akhirnya adalah KEJAYAAN.

January 7, 2011

GERGASI DI DALAM DIRI

ADA gergasi di dalam diri kita. Gergasi yang masih tidur lena dan nyenyak sekali. Kita mungkin tidak menyedari kehadiran gergasi tersebut kerana kita tidak kenal gergasi tersebut.

Sebenarnya gergasi itu adalah sikap dalaman kita yang perlu digerakkan, dibangunkan dan digunakan sepenuhnya. Sikap yang akan mendorong kita melakukan anjakan dan perubahan diri dari masa ke semasa. Andai kita tahu bagaimana caranya menggerakkan gergasi tersebut, kita pasti akan berusaha melakukannya.

Andai terbangun dan terjaga gergasi tersebut, kita bukan sahaja akan dapat melakukan pelbagai perubahan terhadap diri sendiri, malah akan turut melakukan perubahan kepada orang-orang yang kita sayangi.

Ayuh, mari kita kejutkan gergasi raksaksa itu!!!

January 1, 2011

AUMMMM....!!! SUARA HARIMAU MALAYSIA

HADIAH terbesar dan termahal di penghujung 2010 kepada arena sukan Malaysia ialah kejayaan pasukan bola sepak negara menebus maruah setelah gersang merangkul kejayaan di peringkat antarabangsa dengan menjuarai temasya bola sepak piala AFF Suzuki apabila menewaskan Indonesia dengan agregate 4-2 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta 29 Disember yang lalu. Kejayaan tersebut telah membangkitkan satu gelombang baru bola sepak tanah air yang sekian lama berada di tahap yang tidak membanggakan.

Kejayaan pasukan bola sepak negara yang diberi jolokan Harimau Malaya, adalah satu kejayaan manis yang amat diharap-harapkan seluruh warga Malaysia. Setelah sekian lama Piala AFF Suzuki dipertandingkan, pasukan Malaysia tidak pernah merangkul kejayaan. Pasukan-pasukan Thailand, Singapura malah Vietnam pernah menjuarai pertandingan tersebut, tetapi Malaysia kerap menggigit mimpinya sahaja.

Pada kali ini tiba-tiba Malaysia muncul juara walaupun pada peringkat awalnya telah ditewaskan oleh pasukan Indonesia dengan jaringan yang memalukan, iaitu 1-5. Pada ketika itu pasukan Malaysia tampak seperti pasukan belasahan. Namun, selepas kekalahan  yang memalukan itu, pemain-pemain Malaysia sudah sedar dan bangun dari tidur mereka untuk menewaskan pasukan-pasukan lain di dalam kumpulan mereka sehingga muncul sebagai Naib Johan Kumpulan. Di peringkat separuh akhir, Malaysia terus mara menewaskan Vietnam untuk melangkah ke final dengan penuh bergaya. Di peringkat final itulah Malaysia muncul dengan kejayaan 3-0 membelasah Indonesia di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur sebagai bekalan selesa sebelum bertemu sekali lagi di perlawan timbal balik di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta.

Selepas 90 minit bertarung, sejarah telah tercipta!

Apakah sebabnya pasukan Malaysia mampu menjuarai pertandingan tersebut? Apakah kerana pasukan Indonesia lemah? Atau apakah kerana para pemain Malaysia lebih agresif dan mempunyai taktik yang lebih baik dari pasukan Indonesia? Atau apakah faktor suluhan pancaran laser lebih diarahkan kepada pemain Indonesia?

Bagi saya, kejayaan yang diraih itu tidak lain dan tidak bukan adalah kerana perubahan sikap yang mendadak di kalangan para pemain pasukan Malaysia. Perubahan tersebut tampak amat ketara semasa perlawanan di Stadium Bukit Jalil apabila keseluruhan pemain dapat melihat dengan jelas kejayaan sudah menjadi milik mereka. Perubahan sikap terhadap permainan, terhadap pasukan lawan malah yang paling penting ialah perubahan terhadap sesama rakan sepasukan telah mencetuskan satu gelombang kebangkitan dan kesedaran yang amat ketara sekali. Renungkanlah bagaimana Norshahrul Idlan Talaha yang berjaya merampas bola dari kaki lawan ditepi garisan dan membawa bola itu ke kotak penalti kemudiannya melorongkan kepada Shafie Sali untuk merembat ke dalam gol bagi memperolehi gol pertama. Itulah yang saya maksudkan perubahan sikap yang jelas kelihatan di kalangan pemain-pemain Malaysia. Begitu juga untuk gol kedua dan ketiga.

Taktik dan strategi permainan sememangnya penting tetapi walau sebaik dan semantap mana pun taktik serta strategi yang dicurahkan tanpa disertai oleh perubahan sikap di kalangan para pemain, semua taktik dan strategi yang diarahkan oleh jurulatih tidak akan membuahkan hasil. Bacalah di dalam akhbar, bagaimana Khairul Fahmi, penjaga gol Malaysia mampu menangkap bola tendangan penalti yang dilakukan semasa perlawan di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta. Khairul mengaku bahawa jurulatih, Rajagobal pernah menyatakan bahawa lazimnya tendangan penalti akan diambil oleh ketua pasukan yang selalunya akan menendang ke arah kanan iaitu arah kiri gol. Jika ada tendangan penalti, Khairul bolehlah membuat keputusan sendiri.

Sejarah telah tercipta apabila Indonesia dihadiahkan tendangan penalti, Khairul Fahmi berjaya menafikan satu gol penting untuk pasukan Indonesia. Rahsianya ialah Khairul Fahmi telah mengubah sikapnya serta menggunakan minda serta visinya bagi menangkap bola tendangan ketua pasukan Indonesia tersebut. Itulah perubahan sikap yang telah menghasilkan kejayaan.

Di dalam apa sahaja kerja yang kita lakukan, bermulalah dengan perubahan sikap terlebih dahulu. Berubah dengan meninggalkan sikap yang tidak baik dan berhijrah ke sikap psotif yang menguntungkan.

Syabas kepada pasukan Harimau Malaya (Malaysia) di atas kejayaan menebus maruah dan harga diri pasukan bolasepak Malaysia di mata dunia. Teruskan kecemerlangan itu sehingga tahap yang lebih tinggi.