May 26, 2011

EMPAT SESI DI PROGRAM MEMBASMI KEMISKINAN BANDAR

WALAUPUN mengendalikan empat sesi selama empat malam berturut-turut sedikitpun tidak meletihkan saya kerana sambutan yang diberikan oleh para peserta program amatlah memberangsangkan. Sejak malam pertama lagi saya dapati para peserta Program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan Di Bawah Program Membasmi Kemiskinan Bandar anjuran Yayasan Pendidikan dan Vokasional Wanita Malaysa (YPVWM) amat berminat untuk mengikut sesi yang saya kendalikan itu.

Bertempat di Regency Hotel Alor Setar seramai 47 orang peserta telah mengikuti sesi ceramah motivasi yang saya kendalikan selama empat malam (22hb - 25hb Mei 2011) berturut-turut. Program dua jam setiap sesi itu saya isikan dengan ceramah motivasi yang menyentuh beberapa aspek penting bertujuan membangkitkan semangat para peserta sekalian. Bukan itu sahaja ceramah saya juga menyelitkan hal-hal yang berkaitan dengan persediaan fizikal, mental, emosi dan kerohanian yang perlu ada di dalam diri seseorang yang ingin menceburi bidang perniagaan dan keusahawanan.

Ceramah saya sepanjang empat hari tersebut adalah merupakan sisipan kepada program latihan yang diberikan kepada para peserta oleh tenaga pengajar yang didatangkan oleh YPVWM. Menurut Penyelaras Programnya, Puan Aishah Abdullah, para peserta tersebut adalah dipilih daripada mereka yang berdaftar dengan e-Kasih bagi membantu mereka memperolehi kemahiran supaya nanti dapat membantu mereka meningkatkan pendapatan pada masa hadapan.

Para peserta yang majoritinya adalah wanita telah mengikuti program ini selama 12 hari keseluruhan meliputi bidang jahitan, masakan dan solekan. Namun terdapat juga peserta lelaki ikut serta di dalam program tersebut.

Ceramah saya pada malam pertama bertajuk Mencari Nilai Diri, diikuti ceramah bertajuk Mengenal Diri dan Sikap Peribadi pada malam kedua. Seterusnya pada malam ketiga ceramah bertajuk Membina Matlamat Menuju Kecemerlangan dan pada malam terakhir berjudul Makna Kebahagiaan.

Saya berharap para peserta sekalian telah dapat mengutip intipati daripada ceramah-ceramah saya itu untuk dijadikan pedoman di dalam mengendalikan kehidupan masing-masing termasuklah untuk mereka mengendalikan perniagaan mereka.

Apapun, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Penyelaras Program, Puan Aishah Abdullah yang telah sudi menjemput saya mengisi ruang program yang beliau kendalikan itu. Juga tidak ketinggalan jutaan terima kasih kepada Yayasan Pendikan dan Vokesional Wanita Malaysia yang telah sanggup memberi peluang kepada saya menyampaikan ceramah pada program tersebut. Saya berharap pihak Yayasan berpuas hati dengan persembahan saya.

Kepada para peserta saya ucapkan ribuan terima kasih kerana memberi peluang kepada saya menerobos masuk ke dalam minda dan jiwa anda semua dengan ceramah-ceramah saya semoga dapat memberi inspirasi kepada anda semua untuk bergerak lebih jauh lagi di dalam mengejar kejayaan.

Selamat berjaya!
Para peserta sedang mendengar ceramah yang disampaikan.
 Para peserta mengambil bahagian secara aktif semasa sesi ceramah dijalankan.

 
Latihan Kerja Berkumpulan
 Ketua Kumpulan membuat pembentangan di atas pentas.

Bergambar ramai bersama para peserta.

May 10, 2011

BERCERAMAH KEPADA PENGHUNI PENJARA

SEMASA menerima panggilan telefon daripada pegawai Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara yang menjemput saya menyampaikan ceramah kepada banduan di Penjara Seberang Prai, hati saya rasa ragu-ragu, tetapi saya bersetuju menerima jemputan tersebut. Beberapa hari sebelum tarikh program itu, saya membuat persiapan bahan-bahan ceramah. Walaupun saya sudah banyak kali memberi ceramah tentang penulisan kreatif (puisi dan cerpen), saya mencari pendekatan baharu kerana inilaha kali pertama saya berceramah kepada banduan.

Pertamanya, saya mengambil kesimpulan untuk tidak menyebut perkataan 'banduan' tetapi menggunakan 'penghuni penjara' apabila berhadapan dengan para peserta Bengkel Penulisan Kreatif itu nanti. Keduanya, saya mahu menjadikan ceramah selama dua hari itu nanti sebagai ceramah yang santai, tidak terlalu akademik sifatnya. Lalu saya memilih beberapa lagu puisi tradisional untuk diperdengarkan kepada para peserta bengkel itu nanti.

Tanpa sebarang maklumat lengkap tentang latar belakang para peserta yang akan mengikuti bengkel saya nanti, saya tiba di Kompleks Penjara Seberang Prai tepat jam 8.15 pagi 5hb Mei 2011, hari pertama bengkel tersebut dijalankan, dan disambut oleh Tuan Hidayat, pegawai yang bertanggung jawab tentang program tersebut. Setelah menjalani pemeriksaan oleh pegawai-pegawai yang bertugas, saya dibenarkan masuk ke dalam kawasan penjara dengan diiringi oleh seorang pegawai menuju ke Dewan PPI bertemu dengan Ustaz Firdaus, seorang pegawai JAKIM yang bertugas di penjara tersebut. Ustaz Firdaus yang dibantu oleh Ustaz Isa serta Syaiful, salah seorang kakitangan Jabatan Penjara menyambut ketibaan saya dengan mesra sekali. Kami bersalaman dan berkenalan.

"Maaflah tuan, semua peserta masih belum sampai. Kita tunggu sekejap ya", Ustaz Firdaus nampak sedikit resah kerana ketika itu sudah melangkaui waktu sepatutnya acara dimulakan. Pada waktu itu para peserta lelaki sudah mengambil tempat duduk masing-masing di dalam dewan terbuka itu. Menurut Ustaz Firdaus, kesemua peserta ialah seramai 70 orang, lelaki dan perempuan. Saya teruja apabila diberitahu bilangan peserta seramai itu walaupun agak kekok dibahasakan sebagai 'tuan'.

Agak lama juga kami menunggu, kemudian baharulah peserta-peserta wanita seramai 12 orang berjalan masuk ke dalam dewan dengan dikawal oleh tiga orang pegawai penjara wanita. Semua penghuni penjara memakai pakaian berbeza warna; merah, hijau, biru dan putih mengikut kategori hukuman masing-masing. Mengikut makluman yang saya terima, penghuni yang memakai pakaian berwarna merah adalah penghuni tahap satu, hijau tahap dua, biru tahap tiga manakala warna putih adalah penghuni tahanan singkat. Ada juga di antara mereka yang memakai pakaian berwarna merah tetapi dengan jalur warna hitam pada baju mereka. Itu menandakan penghuni berkenaan pernah melarikan diri dan ditangkap semula. Kebanyakan daripada mereka adalah pesalah kes narkotik, kes pergaduhan serta kes mencuri dan 'mat rempit'.

Setelah semua peserta hadir dan peralatan audio visual siap dipasang, Ustaz Firdaus memulakan majlis dengan memperkenalkan saya sebagai penceramah sebelum saya memulakan tugas saya pada hari pertama itu.

Hari pertama saya berceramah tentang penulisan puisi. Seperti biasa saya sentuh tentang definisi puisi, jenis-jenis puisi, unsur-unsur di dalam puisi, gaya bahasa dan sebagainya. Semasa memberi penerangan tentang puisi tradisional, saya perdengarkan bagaimana syair, gurindam, seloka dan nazam dilagukan. Saya dapati ketika itu, kesemua peserta teruja mendengarnya. Saya pasti kesemua mereka belum pernah mendengar gurindam, seloka dan nazam dilagukan sebelum ini. Kemungkinan mereka pernah mendengar syair didendangkan. Sesi berhenti jam 12.30 tengah hari setelah saya sampaikan kepada mereka bagaimana untuk menulis sesebuah puisi moden (sajak) bermula daripada mencari bahan, memilih tema, membina ungkapan puitis sehinggalah memberikan judul kepada puisi.

Sesi sebelah petang bermula semula jam 2.30 petang. Saya berikan masa kepada para peserta mencipta sajak mengikut gaya masing-masing. Apabila semua mereka siap menghasilkan puisi masing-masing, saya jemput beberapa peserta untuk deklamasikan puisi mereka. Pada ketika itulah saya dapati di dalam diri sebahagian peserta itu mempunyai bakat semula jadi yang terpendam selama ini. Mungkin yang kurang pada mereka ialah asuhan dan bimbingan. Di akhir hari pertama saya menerima 76 buah coretan puisi para peserta yang membuatkan saya sibuk pada malam itu meneliti hasil luahan perasaan mereka. Malam itu saya bermalam di Rumah Tetamu Kompleks Kediaman Jabatan Penjara Seberang Prai yang terletak di seberang jalan berhadapan dengan Kompleks Penjara.

Hari kedua ialah ceramah dan bengkel tentang penulisan cerpen pula. Seperti hari pertama saya mulakan dengan ceramah dan pengenalan tentang cerpen sehinggalah bagaimana menulis sebuah cerpen. Pada sebelah petang, selepas solat Jumaat, sesi bermula jam 3.00 hingga 4.30 petang. Saya berikan tugasan kepada para peserta menulis cerpen pula. Walaupun pada mulanya saya hanya memilih hasil tulisan beberapa orang peserta sahaja yang saya dapati berpotensi, tetapi pada akhir majlis semua peserta menyerahkan tulisan masing-masing kepada saya. Sebanyak 68 buah hasil tulisan telah diserahkan untuk saya baca dan nilai.

Kesimpulan yang dapat saya buat setelah dua hari bersama-sama penghuni penjara yang menjadi peserta Bengkel Penulisan Kreatif itu saya dapati ramai di kalangan mereka yang berminat serta mempunyai ide untuk menulis. Cuma mereka tidak mempunyai kemahiran berkarya dengan mengikut kaedah yang betul. Mereka kurang mahir untuk mengembangkan ide menjadi sebuah karya yang baik dan menarik. Tetapi jika mereka diberikan bimbingan serta tunjuk ajar berterusan rasanya tidak mustahil Jabatan Penjara dapat melihat karya-karya penghuninya diterbitkan. Malah itulah yang menjadi hasrat Pengarah Jabatan Penjara Seberang Prai, yang ingin melihat hasil karya peserta-peserta dibukukan. Itulah yang dinyatakan kepada saya semasa saya sempat berbual ringkas dengan beliau pada hari pertama program tersebut.

Saya akan serahkan hasil karya para peserta kepada DBPWU untuk tindakan selanjutnya. Maaflah kerana tidak dapat menyiarkan gambar sepanjang bengkel tersebut kerana saya tidak dibenarkan untuk mengambil sebarang gambar. Saya tinggalkan Kompleks Penjara Seberang Prai tepat jam 5.15 petang 6hb Mei 2011, dengan sejuta kenangan yang sukar dilupakan.