December 31, 2010

SALAM SEJAHTERA SELAMAT BERJUMPA

SALAM sejahtera,selamat berjumpa sempena tahun baru 2011.

Tahun ini merupakan tahun ke 11 dalam abad ke-21, tahun yang pastinya akan membawa segala macam cabaran dan dugaan yang lebih mencabar dan sengit. Kita seharusnya sudah bersedia menghadapi tahun baru ini, bersiap siaga untuk menepis segala cabaran dan dugaan yang bakal melanda.

Kekuatan fizikal bukan lagi aset utama untuk menentang segala cabaran dan dugaan, tetapi keutuhan minda, emosi dan spiritual akan menjadi benteng kukuh yang amat diperlukan. Minda yang sentiasa positif, kreatif dan inovatif akan menjana kekuatan bagi menentang cabaran dan dugaan. Tetapi minda yang dipenuhi perspektif dan pemikiran negatif tidak akan mempunyai kekuatan untuk melawan. Malah minda sedemikian akan hanya tunduk melutut kepada cabaran dan dugaan sekaligus akan menjadikan pemilik minda itu tidak akan berubah menjadi lebih baik dan cemerlang.

Emosi juga berperanan untuk mengubah sikap manusia. Malah emosi yang stabil dan ceria akan mengundang segala kemungkinan untuk menjadi insan yang lebih baik. Perubahan akan mudah berlaku dengan meninggalkan segala kemunduran dan menggapai kecemerlangan. Jiwa yang suci penuh jujur dan bertanggung jawab akan mencetuskan emosi yang cukup baik serta akan dapat menarik kekuatan-kekuatan lain untuk digemblengkan bersama menjadi satu kuasa dalaman bagi menjadi kecemerlangan yang lebih gemilang.

Untuk menjadi seorang insan yang baik di segenap segi, kita haruslah bersedia untuk mengubah minda supaya sejajar dengan kehendak naluri kita. Jangan sama sekali biarkan minda kita dipenuhi serabut negatif yang akan membesar menjadi tunjang yang menyukarkan kita untuk berubah.

Semoga 2011 akan membawa sinar gemilang.