June 9, 2012

PELUANG KEDUA


BENARKAH ada peluang kedua di dalam kehidupan kita?

Ada orang berkata peluang yang datang hanya sekali sahaja, jika kita tidak mengambilnya ia tidak akan datang untuk kali kedua.

Apabila seseorang itu menemui kegagalan dia akan merasa tertekan dan kecewa. Perasaan itu akan berlarutan sehingga tiba suatu ketika apabila orang itu dapat melupakan peristiwa pahit yang telah dialaminya. Namun yang pasti kesan yang dirasainya tidak mungkin akan hilang buat selama-lamanya.

Ada orang yang terus tewas kepada kegagalan itu. Ada pula yang tidak mahu menyerah kalah dengan mudah. Orang yang tewas akan berundur ke belakang, menyembunyikan diri dan tidak berani lagi berhadapan dengan cabaran. Manakala orang yang tidak menyerah kalah akan bangun semula untuk menghadapi cabaran baharu.

Bagi orang yang bangun semula itu adakah dia mendapat peluang kedua atau sekadar menyambung kembali peluang yang terhenti seketika itu?

Semuanya bergantung kepada diri kita sendiri. Jika anda menganggap peluang itu hanya datang sekali sahaja, kebangkitan semula setelah mengalami ketewasan pertama adalah untuk menyambung peluang yang terhenti sebentar. Peluang itu tetap peluang yang sama, peluang yang telah ditetapkan kepada anda, bukan peluang baharu. Tetapi dengan cara dan pendekatan baharu untuk menggarap peluang tersebut. Jangan melakukan cara yang sama yang mengakibatkan ketewasan dahulu.

Apa pun, segalanya berada di dalam diri anda sendiri! Tingkatkan keyakinan diri, percaya kepada kebolehan yang dianugerahkan dan jangan berputus asa.

Satu kilogran batu dan satu kilogram kapas sama beratnya. Tetapi berbeza saiz.

No comments:

Post a Comment