February 15, 2012

TERLALU NIPIS BEZANYA


TERLALU 
nipis batas yang membezakan di antara Kejayaan dan Kegagalan. Batas yang nipis itu menentukan seseorang itu melonjak ke takah yang lebih tinggi ataupun merudum ke tangga terbawah sekali.

Mungkin ada orang yang mengatakan, "aku sudah berusaha bersungguh-sungguh tetapi masih belum berjaya". Atau mungkin ada orang lain pula yang akan mengatakan, "aku masih tidak berjaya walaupun setelah berusaha sekian lama".

Malah berbagai lagi ungkapan yang diluahkan sesesiapa sahaja apabila tidak berjaya mencapai matlamat yang diidamkan. Ungkapan-ungkapan tersebut hanyalah merupakan keluhan yang tidak memberi sebarang makna selain daripada rasa kecewa dan putus asa.

Jika diperhatikan secara mendalam, setiap usaha yang dilakukan pasti akan menemui kejayaan, baik kecil mahupun besar. Kejayaan pasti akan menyusul setelah usaha digemblengkan bersungguh-sungguh dan dilakukan dengan penuh istiqamah. Itu adalah fitrah yang tidak dapat disangkal.

Namun kejayaan yang diidamkan tidak mungkin tercapai jika tidak disusuli dengan usaha yang tidak kenal putus asa. Jika seseorang itu berhenti berusaha itulah detik dia menemui kegagalan. Tetapi jika dia terus berusaha kejayaan sentiasa mengiringinya.

February 4, 2012

ANDA TIDAK GAGAL

ANDA tentu pernah mendengar kata-kata 'sekali gagal tidak bermakna anda gagal selama-lamanya' ataupun 'jangan takut kepada kegagalan kerana ia adalah langkah pertama menuju kejayaan'. Malah banyak lagi kata-kata perangsang berkaitan dengan kegagalan dan kejayaan.

Anda juga mungkin pernah mengalami situasi seumpama itu di dalam kehidupan anda. Anda mungkin pernah gagal di dalam peperiksaan atau temu duga pekerjaan atau percintaan atau kerukunan rumah tangga. Bukan anda sahaja, ramai lagi manusia lain yang pernah mengalami kegagalan di dalam hidup masing-masing.

Namun, saya kurang gemar menggunakan kalimat 'gagal' kerana ia membawa kesan yang mendalam di dalam diri kita. Seorang anak sekolah umpamanya, jika diucapkan kata 'gagal' akan mempengaruhi pencapaian akademiknya. Mindanya pasti akan merakamkan kata 'gagal' itu dan seterusnya membenihkan kepercayaan bahawa dia adalah seorang tidak berjaya di dalam pelajarannya.

Begitu juga jika seorang anak muda yang sering disogokkan dengan kata 'gagal' pasti akan merasa kecewa dan tidak berdaya untuk melepasi sebarang cabaran yang dihadapinya. Dia akan menjadi seorang remaja yang tidak mempunyai keyakinan diri yang tinggi serta berjiwa lemah dan mudah menyerah.

Lantaran itu kita perlulah mengubah kata 'gagal' kepada kata-kata yang lebih memberangsangkan supaya dengan itu minda kita akan merakam serta menyimpannya sebagai modal bagi membina kekuatan diri. Ibu bapa perlu mengambil perhatian mendalam agar tidak mengucapkan kata-kata negatif kepada anak-anak. Jangan sekali-kali mengucapkan kata-kata negatif itu kepada anak-anak. Berilah mereka semangat dengan kata-kata positif agar minda dan jiwa anak-anak membesar dengan rangsangan yang kuat untuk menjadi seorang yang berjaya.

January 25, 2012

DIALOG ANAK DAN AYAH

Seorang anak sentiasa mengharapkan kasih sayang ayah memimpinnya menempuh getir dan cabaran kehidupan. Seorang ayah pula harus setiap masa bersedia menjadi pembimbing kepada anak dengan penuh kasih sayang dan bertanggung jawab.

December 26, 2011

KESILAPAN MASA LALU: JADIKAN TELADAN

TIADA manusia yang tidak melakukan kesilapan, baik kesilapan besar mahu pun kecil. Manusia melakukan kesilapan sama ada secara sedar atau pun sebaliknya.

Kesilapan demi kesilapan yang dilakukan adalah sebahagian daripada pengalaman di dalam perjalanan kehidupan. Tiada manusia, kecuali Nabi Muhamad s.a.w, yang tidak pernah melakukan kesilapan. Nabi Muhamad s.a.w adalah Kekasih Allah s.w.t yang terpelihara daripada melakukan sebarang kesilapan. Itu janji Allah s.w.t. yang Maha Benar.

Sebagai manusia biasa, kita pasti melakukan kesilapan di dalam hidup ini. Namun kita harus memperbaiki diri dan memperbetulkan kesilapan yang pernah dilakukan terdahulu. Hindarilah daripada mengulanginya lagi supaya perjalanan kehidupan kita akan menjadi lebih mudah dan beroleh keberkatan Allah s.w.t.

Kita mesti menilai setiap kesilapan yang dilakukan dan mengambil iktibar daripadanya. Itulah namanya 'muhasabah', iaitu menilai setiap kesilapan yang pernah dilakukan dan kemudiannya berusaha memperbaiki keadaan. Apabila kita berjaya melakukannya, kita harus berhati-hati supaya langkah kita selanjutnya tidak mengulangi kesilapan yang sama.

Begitulah seharusnya, kita mengambil iktibar dan pengajaran daripada setiap kesilapan yang telah dilakukan supaya ia menjadi pengalaman yang amat bermakna. Jika kita tidak bermuhasabah diri dan belajar daripada kesilapan lampau, kita sebenarnya masih belum menjadi seorang yang berjaya.

December 10, 2011

NILAI SEGELAS SUSU

SATU emel masuk ke dalam kotak emel saya. Sudah agak lama saya tidak menerima emel yang mengandungi cerita-cerita menarik. Saya membaca cerita tersebut. Menarik dan ada pengajaran yang boleh dikongsi bersama. Saya paparkan semula di sini. Semoga ada manfaatnya.
GLASS OF MILK

One day, a poor boy who was selling goods from door to door to pay his way through school, found he had only one thin dime left, and he was hungry.

He decided he would ask for a meal at the next house. However, he lost his nerve when a lovely young woman opened the door.

Instead of a meal he asked for a drink of water! She thought he looked hungry so brought him a large glass of milk. He drank it so slowly, and then asked, How much do I owe you?"

"You don't owe me anything," she replied. "Mother has taught us never to accept pay for a kindness."

He said ... "Then I thank you from my heart."

As Howard left that house, he not only felt stronger physically, but his faith in God and man was strong also. He had been ready to give up and quit.

Many years later that same young woman became critically ill. The local doctors were baffled. They finally sent her to the big city, where they called in specialists to study her rare disease.

Dr. Howard Kelly was called in for the consultation. When he heard the name of the town she came from, a strange light filled his eyes. Immediately he rose and went down the hall of the hospital to her room. Dressed in his doctor's gown he went in to see her. He recognized her at once.

He went back to the consultation room determined to do his best to save her life. From that day he gave special attention to her case. After a long struggle, the battle was won.

Dr. Kelly requested the business office to pass the final bill to him for approval. He looked at it, then wrote something on the edge, and the bill was sent to her room. She feared to open it, for she was sure it would take the rest of her life to pay for it all. Finally she looked, and something caught her attention on the side of the bill. She read these words ...

"Paid in full with one glass of milk" - Signed, Dr. Howard Kelly.

Tears of joy flooded her eyes as her happy heart prayed: "Thank You, God, that Your love has spread broad through human hearts and hands."

There's a saying which goes something like this: “Bread cast on the water comes back to you”. The good deed you do today may benefit you or someone you love at the least expected time. If you never see the deed again at least you will have made the world a better place - And, after all, isn't that what life is all about?

Berapakah sebenarnya harga segelas susu itu? Ya, bagi seorang yang kehausan dan kelaparan harganya terlalu mahal. Tetapi bagi seorang yang ikhlas, berapalah sangat harganya jika dibandingkan dengan kelaparan serta kehausan yang dirasai oleh orang yang meminta itu. Kerana keikhlasan yang benar-benar lahir dari hati kecilnya, akhirnya dia mendapat bayaran yang berlipat kali ganda harganya.

Jangan segan menghulurkan bantuan kepada orang yang memerlukan, tetapi dengan syarat bantuan itu diberikan dengan penuh rasa keikhlasan.

 

November 6, 2011

SELAMAT HARI RAYA AIDIL ADHA

PARA hujjaj yang berada di tanah suci kerana mengerjakan ibadah haji, kini sedang berwukuf di Padang Arafah kerana menunaikan rukun haji yang terpenting. Walaupun mereka hanya perlu berada di Padang Arafah hanya lebih kurang 5 jam (bermula waktu Zohor sehingga selesai Asar), namun ia amat bermakna kerana jika tidak berada di situ walaupun seketika di dalam waktu tersebut, ibadah hajinya akan terbatal.

Namun yang lebih bermakna ialah sepanjang masa berwukuf, para hujjaj mempunyai kesempatan ruang dan waktu untuk bermunajat kepada Allah s.w.t serta memohon keampunan-Nya terhadap segala kesalahan yang pernah dilakukan. Mereka sebenarnya berkomunikasi secara langsung dengan Allah s.w.t pada ketika itu. Segala doa dan permintaan akan dimaqbulkan Allah s.w.t.

Kepada para hujjaj didoakan mereka memperolehi haji yang mabrur manakalah kepada yang belum dijemput Allah sebagai tetamu-Nya ke tanah suci, sama-samalah kita berdoa semoga suatu waktu nanti kita juga dijemput sebagai tetamu Allah s.w.t ke sana.

Esok hari, 10 Zulhijjah adalah Hari Raya Aidil Adha, satu lagi hari yang bermakna untuk umat Islam keseluruhannya. Allah s.w.t menganugerahkan satu lagi peluang untuk beribadat melalui ibadah Qurban sebagai kesinambungan pengorbanan yang telah dilakukan dengan penuh keikhlasan oleh Nabi Ibrahim a.s ke atas anaknya Nabi Ismail a.s. Sesungguhnya ibadah qurban mempunyai makna dan nilai yang amat tinggi di sisi Allah s.w.t.

Saya ucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha kepada para pembaca blog ini. Maaf zahir batin.



July 31, 2011

BENGKEL PENULISAN KREATIF DI SMKA KRIAN, PERAK

PADA hari Rabu 27 Julai 2011 saya menyampaikan ceramah tentang asas penulisan cerpen di Bengkel Penulisan Kreatif bertempat di Sek Men Keb Agama Krian, Semanggol, Perak. Bengkel ini dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara dengan kerjasama Persatuan Penulis Sastera Daerah Krian Perak (PERENTAS).
Ucapan perasmian oleh Dr Abdullah Sani Yahaya, Ketua Satu PERENTAS

Acara sehari itu telah dirasmikan oleh Ketua Satu PERENTAS, Dr Abdullah Sani Yahaya dan disertai oleh 123 orang pelajar tingkatan empat sekolah berkenaan. Sepanjang sesi tersebut, para pelajar telah didedahkan kepada aspek-aspek berkaitan penulisan cerpen yang meliputi berbagai unsur penting yang terdapat di dalam cerpen.
Para peserta memberi tumpuan kepada ceramah yang disampaikan.

Pada sebelah petangnya, mulai jam 2.30 hingga 4.30, saya telah memberikan tugasan kepada para pelajar untuk mengarang sebuah cerpen setiap seorang berdasarkan kepada ceramah yang disampaikan pada sebelah paginya. Setiap pelajar dikehendaki mencari bahan cerita (idea), mengembangkan jalan cerita, melahirkan watak-watak dan seterusnya mengarang berdasarkan tema pilihan masing-masing. Kesemua pelajar telah menyerahkan hasil tulisan masing-masing pada akhir bengkel tersebut.

 
 
 
Para peserta sibuk menyiapkan karya masing-masing semasa bengkel.

Acara penutup telah disempurnakan oleh Tuan Hj Shahbudin, Penolong Kanan Pentadbiran SMKA Kerian yang menyatakan rasa puas hati di atas kesungguhan yang ditunjukkan oleh pelajar sekalian. Beliau juga menyampaikan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada DBPWU dan PERENTAS yang telah memilih SMKA Kerian sebagai tempat bengkel ini dijalankan. Seterusnya beliau menyarankan agar program yang sama dapat diadakan lagi, tetapi kali ini merangkumi para pelajar dari kesemua lapisan (tingkatan satu hingga tingkatan enam).
 Peserta menyerahkan karya masing-masing
Saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada DBPWU kerana memilih saya sebagai penceramah. Terima kasih kepada rakan-rakan PERENTAS yang menyambut kedatangan saya ke Parit Buntar dengan penuh mesra. Terima kasih yang tidak terhingga kepada cikgu Hasnan, Guru Kanan Bahasa Melayu serta guru-guru lain yang telah memberikan layanan istimewa sepanjang satu hari saya di SMKA Krian. Segala budi baik semua pihak akan saya kenang sepanjang hayat.