February 15, 2012

TERLALU NIPIS BEZANYA


TERLALU 
nipis batas yang membezakan di antara Kejayaan dan Kegagalan. Batas yang nipis itu menentukan seseorang itu melonjak ke takah yang lebih tinggi ataupun merudum ke tangga terbawah sekali.

Mungkin ada orang yang mengatakan, "aku sudah berusaha bersungguh-sungguh tetapi masih belum berjaya". Atau mungkin ada orang lain pula yang akan mengatakan, "aku masih tidak berjaya walaupun setelah berusaha sekian lama".

Malah berbagai lagi ungkapan yang diluahkan sesesiapa sahaja apabila tidak berjaya mencapai matlamat yang diidamkan. Ungkapan-ungkapan tersebut hanyalah merupakan keluhan yang tidak memberi sebarang makna selain daripada rasa kecewa dan putus asa.

Jika diperhatikan secara mendalam, setiap usaha yang dilakukan pasti akan menemui kejayaan, baik kecil mahupun besar. Kejayaan pasti akan menyusul setelah usaha digemblengkan bersungguh-sungguh dan dilakukan dengan penuh istiqamah. Itu adalah fitrah yang tidak dapat disangkal.

Namun kejayaan yang diidamkan tidak mungkin tercapai jika tidak disusuli dengan usaha yang tidak kenal putus asa. Jika seseorang itu berhenti berusaha itulah detik dia menemui kegagalan. Tetapi jika dia terus berusaha kejayaan sentiasa mengiringinya.

No comments:

Post a Comment