TIADA manusia yang tidak melakukan kesilapan, baik kesilapan besar mahu pun kecil. Manusia melakukan kesilapan sama ada secara sedar atau pun sebaliknya.
Kesilapan demi kesilapan yang dilakukan adalah sebahagian daripada pengalaman di dalam perjalanan kehidupan. Tiada manusia, kecuali Nabi Muhamad s.a.w, yang tidak pernah melakukan kesilapan. Nabi Muhamad s.a.w adalah Kekasih Allah s.w.t yang terpelihara daripada melakukan sebarang kesilapan. Itu janji Allah s.w.t. yang Maha Benar.
Sebagai manusia biasa, kita pasti melakukan kesilapan di dalam hidup ini. Namun kita harus memperbaiki diri dan memperbetulkan kesilapan yang pernah dilakukan terdahulu. Hindarilah daripada mengulanginya lagi supaya perjalanan kehidupan kita akan menjadi lebih mudah dan beroleh keberkatan Allah s.w.t.
Kita mesti menilai setiap kesilapan yang dilakukan dan mengambil iktibar daripadanya. Itulah namanya 'muhasabah', iaitu menilai setiap kesilapan yang pernah dilakukan dan kemudiannya berusaha memperbaiki keadaan. Apabila kita berjaya melakukannya, kita harus berhati-hati supaya langkah kita selanjutnya tidak mengulangi kesilapan yang sama.
Begitulah seharusnya, kita mengambil iktibar dan pengajaran daripada setiap kesilapan yang telah dilakukan supaya ia menjadi pengalaman yang amat bermakna. Jika kita tidak bermuhasabah diri dan belajar daripada kesilapan lampau, kita sebenarnya masih belum menjadi seorang yang berjaya.
No comments:
Post a Comment