Showing posts with label Kejayaan. Show all posts
Showing posts with label Kejayaan. Show all posts

May 19, 2013

MENGGILAP BAKAT SEMULA JADI

BAKAT adalah anugerah Allah S.W.T yang disisipkan ke dalam kehidupan manusia sejak azali lagi. Setiap manusia lahir bersama bakat yang telah ditentukan, tanpa disedari oleh manusia itu sendiri. Justeru itu ramai manusia yang tidak tahu apakah bakat semula jadi yang dimilikinya sehingga usianya meningkat ke satu tahap.

Ada orang yang sudah tahu bakatnya sejak masih kecil atau remaja atau sewaktu dalam usia belia. Tetapi tidak kurang juga yang hanya tersedar tentang bakatnya apabila sudah meningkat usia.

Bakat boleh dikenal pasti. Lihat sahaja seseorang murid di sekolah rendah atau menengah, guru sudah dapat mengenal bakat murid tersebut. Ada murid yang terserlah bakatnya di dalam bidang sukan sejak di bangku sekolah rendah lagi. Ada juga yang sudah dikenal pasti berbakat dalam bidang seni suara, atau seni lakon, seni lukis dan sebagainya. Begitu juga di peringkat sekolah menengah, guru lebih pantas mengenali bakat para pelajarnya.

Namun, bakat yang dibekalkan Allah itu tidak mungkin dapat diketahui jika tidak ada sebarang tindakan untuk mencungkilnya. Contohnya bakat seni lukis, tidak akan dapat ditemui jika tidak dicungkil dengan kegiatan-kegiatan melukis sejak usia muda lagi. Seorang rakan saya di sekolah menengah dahulu, mempunyai bakat seni lukis yang sudah dikesannya sejak usia 15 tahun. Dia memang minat melukis dan hasil lukisannya memang menarik meskipun pada usia 15 tahun!

Kami sama-sama berada di aliran sains semasa di tingkatan empat dan lima. Sewaktu mendaftar mata pelajaran untuk peperiksaan MCE (kini SPM), dia memilih untuk mengambil mata pelajaran Seni Lukis. Guru-guru terkejut dengan tindakannya itu. Malah ada di antara guru yang tidak bersetuju. Tetapi dia tetap dengan keputusannya. Kini dia adalah seorang bekas pensyarah seni lukis di salah sebuah universiti tempatan di samping seorang pelukis yang dikenali.

Begitu juga dengan seorang lagi rakan yang dua tahun lebih tua daripada saya. Rakan saya ini meminati bidang sukan olahraga sejak usia kanak-kanak lagi. Di sekolah menengah dia mengasahkan bakatnya itu sehingga dapat mewakili sekolah dan negeri ke pertandingan yang lebih tinggi. Selepas tamat tingkatan tiga dia ditawarkan melanjutkan pelajaran ke sekolah lain yang mempunyai kemudahan sukan berbanding sekolah kami. Dia tidak menolah tawaran itu dan semasa di tingkatan lima dia sudah dapat mewakili negara di dalam sukan olahraga ke temasya sukan peringkat antarabangsa. Beberapa kali dia berjaya mewakili negara setelah tamat persekolahan sehinggalah akhirnya dia menjadi seorang jurulatih bertauliah.

Itulah di antara kisah bagaimana bakat seseorang itu dapat dijelmakan menjadi hebat andainya orang itu mengenali bakatnya terlebih awal. Tetapi dengan hanya mengenali bakat sahaja tidak mencukupi untuk berjaya tanpa disusuli dengan usaha yang bersungguh-sungguh.

Bakat akan terjelma dengan cemerlang jika digilap bersungguh-sungguh. Menggilap bakat adalah dengan cara melakukannya secara berulang-ulang tanpa jemu dan putus asa. Bakat akan lebih terserlah jika orang itu tidak langsung tunduk kepada kekalahan. 

February 15, 2012

TERLALU NIPIS BEZANYA


TERLALU 
nipis batas yang membezakan di antara Kejayaan dan Kegagalan. Batas yang nipis itu menentukan seseorang itu melonjak ke takah yang lebih tinggi ataupun merudum ke tangga terbawah sekali.

Mungkin ada orang yang mengatakan, "aku sudah berusaha bersungguh-sungguh tetapi masih belum berjaya". Atau mungkin ada orang lain pula yang akan mengatakan, "aku masih tidak berjaya walaupun setelah berusaha sekian lama".

Malah berbagai lagi ungkapan yang diluahkan sesesiapa sahaja apabila tidak berjaya mencapai matlamat yang diidamkan. Ungkapan-ungkapan tersebut hanyalah merupakan keluhan yang tidak memberi sebarang makna selain daripada rasa kecewa dan putus asa.

Jika diperhatikan secara mendalam, setiap usaha yang dilakukan pasti akan menemui kejayaan, baik kecil mahupun besar. Kejayaan pasti akan menyusul setelah usaha digemblengkan bersungguh-sungguh dan dilakukan dengan penuh istiqamah. Itu adalah fitrah yang tidak dapat disangkal.

Namun kejayaan yang diidamkan tidak mungkin tercapai jika tidak disusuli dengan usaha yang tidak kenal putus asa. Jika seseorang itu berhenti berusaha itulah detik dia menemui kegagalan. Tetapi jika dia terus berusaha kejayaan sentiasa mengiringinya.