February 1, 2011

ANDA KENAL DIRI ANDA SENDIRI?

TANPA kita sedari sebenarnya setiap daripada kita adalah merupakan modal yang amat berharga. Itulah hakikatnya! Namun tidak ramai yang mengenali diri mereka sendiri yang merupakan modal untuk menjana kekayaan dan keuntungan.

Amatlah rugi seseorang yang tidak mengenali dirinya sendiri. Orang yang tidak mengenali dirinya atau tidak berusaha untuk mengenali diri tergolong di dalam golongan manusia yang rugi. Kenapa?

"Mengenal diri adalah permulaan segala ilmu". Kata-kata bijak pandai ini amat dalam dan luas maksudnya. Mutiara kata tersebut membawa makna jika seseorang itu ingin berjaya, dia perlu mempunyai ilmu dan untuk mendapatkan segala ilmu tersebut, dia perlu mengenali dirinya terlebih dahulu. Itulah permulaannya: mengenali diri.

Proses mengenal diri sendiri agak sukar jika pemilik diri itu sendiri tidak suka untuk melihat ke dalam dirinya. Apatah lagi jika dia menutup setiap ruang untuk orang lain membongkar rahsia yang tersembunyi di dalam dirinya. Rugilah dia jika dia tidak mengenali siapa dirinya yang sebenar kerana dia akan sukar untuk mencari ilmu pengetahuan sebanyak mungkin bagi meningkatkan harga dirinya sendiri!

Setiap manusia mempunyai empat komponen utama, iaitu Jasad, Minda (Aqal), Roh dan Nafsu. Kombinasi empat elemen tersebut membentuk sekujur manusia. Tanpa jasad sebagai manusia, ia bukan manusia!. Jika jasadnya manusia tetapi tiada Minda serta Roh dan Nafsu, ia tetap bukan manusia! Lantas, seorang manusia itu mesti terjelma empat elemen tersebut secara jelas dan nyata.

Lihatlah ke seluruh jasad yang dijadikan Allah s.w.t ini, betapa indah dan lengkapnya ia. Dari hujung rambut hingga ke hujung jari kaki, segalanya lengkap dan saling melengkapi di antara satu anggota dengan anggota yang lain. Mata yang terletak di tempatnya, hidung yang sedemikian bentuknya serta mulut yang lengkap dengan lidah serta giginya. Begitulah anggota-anggota jasad yang lain. Semua anggota itu dijadikan dengan tugas dan peranan masing-masing yang tersendiri.

Malah jika diselami ke dalam jasad, kita menemui berbagai kehebatan yang dianugerahkan Allah s.w.t kepada setiap manusia. Sejumlah tulang yang kuat dan teguh untuk menjadikan jasad itu tegak berdiri. Urat saraf yang sedemikian banyak untuk mengalirkan darah ke seluruh tubuh badan. Lihat juga berapa panjangnya urat saraf itu jika diukur dari hujung ke hujungnya. Segala itu adalah kehebatan yang tiada tolok bandingnya.

Namun, jika kita gagal untuk mengenali diri kita secara fizikalnya, kita sudah dianggap gagal untuk mengenali diri sendiri secara keseluruhannya. Kita akan menghadapi kesukaran untuk memahami emosi diri, sikap serta pandangan hidup kita sendiri. Atau paling tidak kita berada di dalam situasi tercari-cari arah sebenarnya kehidupan yang mahu dilayari.

Lalu, kita perlulah belajar untuk mengenali diri kita sendiri.

No comments:

Post a Comment