January 8, 2011

LANGKAH PERTAMA

"JIKA anda berani memulakan langkah pertama, itu adalah petanda yang anda benar-benar berani menghadapi kegagalan demi untuk mengecap kejayaan".

Ya, setiap kejayaan yang diraih atau dikecapi permulaannya dimulai dengan langkah pertama. Tanpa langkah pertama tidak mungkin akan ada langkah-langkah selanjutnya. Tanpa langkah-langkah yang menyusul tidak mungkin ada kejayaan yang diperolehi.

Langkah pertama itu amat penting kerana apabila ia mula diatur, itu menandakan telah bermulalah suatu perjalanan. Perjalanan yang akan menempuhi pelbagai cabaran dan dugaan sebelum tiba di garis kejayaan.

Lantas apabila anda memulakan langkah yang pertama, itu bermakna anda sudah bersedia untuk menghadapi rintangan dan cabaran demi mengecap suatu kejayaan. Anda sebenarnya sudah bersedia untuk menjadi JUARA!

Namun, sebelum memulakan langkah yang pertama itu, anda seharusnya sudah lebih bersedia kerana jika langkah pertama sudah diatur, jangan sekali-kali berpatah balik. Anda harus sudah bersedia mental, fizikal, emosi dan spiritual bahawa langkah pertama itu tidak menjanjikan kejayaan jika tidak disusuli dengan cabaran dan dugaan. Lalu mental, fizikal, emosi dan spiritual anda seharusnya mantap dan di dalam keadaan terbaik. Tanpa kekuatan anda mungkin tumbang di tengah perjalanan.

Ayuh, persiapkan diri. Mulakan melangkah dengan penuh yakin. Tanam kepercayaan bahawa perjalanan ini akhirnya adalah KEJAYAAN.

No comments:

Post a Comment