JIKA diamati di dalam kehidupan sehari-hari, secara umumnya terdapat tiga (3) golongan manusia berdasarkan tahap masalah yang dihadapinya serta kesenangan yang dinikmati, iaitu:
1. Orang yang menghadapi sedikit masalah, tetapi menikmati banyak kesenangan;
2. Orang yang menghadapi sama banyak masalah serta menikmati kesenangan;
3. Orang yang menghadapi banyak masalah, tetapi menikmati sedikit kesenangan.
Orang yang berada di dalam golongan pertama lazimnya merasa bahawa diri mereka amat beruntung dan hebat kerana sangat mudah menikmati kesenangan dan kejayaan. Akibat daripada itu ramai dari golongan ini memiliki sifat sombong yang boleh mengakibatkan kehancuran kepada diri mereka sendiri. Malah sifat sombong itulah yang akan menimbulkan kemungkinan mereka mendapat lebih banyak masalah di kemudian hari nanti. Orang-orang di dalam golongan ini juga kebiasaannya tidak mahu mendengar pendapat dan pandangan orang lain. Dengan sifat sombong mereka suka merendah-rendahkan apa sahaja pandangan, pendapat malah nasihat orang lain terhadap mereka. Mereka juga sukar untuk bersyukur di atas apa yang mereka perolehi dan miliki atau nikmati. Jarang sekali mereka menyedari bahawa semua kemudahan, kesenangan serta nikmat yang ada pada dirinya datangnya dengan kehendak Allah melalui berbagi cara termasuklah bantuan orang lain. Semuanya itu adalah semata-mata untuk mengajar mereka supaya tidak mudah merasa sombong dengan apa yang mereka miliki.
Orang yang berada di dalam golongan kedua pula adalah orang yang menyedari bahawa mereka memerlukan orang lain untuk membantu bagi menyelesaikan masalah yang mereka hadapi. Bukan itu sahaja,malah mereka juga memerlukan sokongan orang lain untuk mencapai kesenangan atau kejayaan. Kebanyak orang di dalam golongan ini jarang bersifat sombong atau tinggi diri. Mereka sedar siapa mereka kerana mereka memiliki kekurangan yang memerlukan sokongan dan bantuan orang lain. Apabila mereka mendapat bantuan orang lain, masalah yang mereka tanggung akan menjadi ringan dan mudah diselesaikan. Kejayaan atau kesenangan pun mudah menyusul. Oleh itu mereka yang tergolong di dalam golongan kedua ini haruslah berhati-hati dan bijak memilih bentuk bantuan atau pertolongan orang lain bagi mengatasi mana-mana masalah yang mereka sedang hadapi. Hal ini adalah supaya mereka tidak terjebak di dalam keadaan yang boleh menimbulkan berbagai kebimbangan pada masa hadapan.
Manakala orang yang berada di dalam golongan ketiga pula adalah terdiri daripada orang-orang yang umumnya tidak percaya terhadap orang lain. Mereka merasa orang tidak pernah mahu membantu mengatasi masalah-masalah yang mereka hadapi. Orang-orang di dalam golongan ini sukar mempercayai orang lain sehingga beranggapan bahawa orang lain tidak akan mengerti masalah yang mereka hadapi dan tentu sekali tidak akan dapat membantu menyelesaikan masalah tersebut. Sikap tidak mempercayai orang lain itu amat merugikan golongan ketiga ini. Mereka tidak dapat meluahkan perasaan dan berkongsi masalah yang mereka hadapi dengan orang lain. Jauh lebih malang lagi sebilangan besarnya tidak mempunyai rasa percaya kepada kebolehan diri sendiri. Untuk itu orang dalam golongan ini harus mulai belajar mempercayai orang lain atau mencari teman untuk berkongsi masalah, agar dengan itu akan dapat menyelesaikan sendikit demi sedikit masalah yang dihadapi mereka.
Sekarang, tanyalah diri anda sendiri. Adakah anda berada di dalam golongan pertama atau kedua atau ketiga?
Namun, biar di dalam golongan mana sekalipun anda berada, anda tidak harus merasa puas dengan apa yang anda lakukan. Anda perlu berusaha keras untuk berubah menjadi seorang manusia yang lebih baik dari masa ke semasa.
No comments:
Post a Comment