November 6, 2011

SELAMAT HARI RAYA AIDIL ADHA

PARA hujjaj yang berada di tanah suci kerana mengerjakan ibadah haji, kini sedang berwukuf di Padang Arafah kerana menunaikan rukun haji yang terpenting. Walaupun mereka hanya perlu berada di Padang Arafah hanya lebih kurang 5 jam (bermula waktu Zohor sehingga selesai Asar), namun ia amat bermakna kerana jika tidak berada di situ walaupun seketika di dalam waktu tersebut, ibadah hajinya akan terbatal.

Namun yang lebih bermakna ialah sepanjang masa berwukuf, para hujjaj mempunyai kesempatan ruang dan waktu untuk bermunajat kepada Allah s.w.t serta memohon keampunan-Nya terhadap segala kesalahan yang pernah dilakukan. Mereka sebenarnya berkomunikasi secara langsung dengan Allah s.w.t pada ketika itu. Segala doa dan permintaan akan dimaqbulkan Allah s.w.t.

Kepada para hujjaj didoakan mereka memperolehi haji yang mabrur manakalah kepada yang belum dijemput Allah sebagai tetamu-Nya ke tanah suci, sama-samalah kita berdoa semoga suatu waktu nanti kita juga dijemput sebagai tetamu Allah s.w.t ke sana.

Esok hari, 10 Zulhijjah adalah Hari Raya Aidil Adha, satu lagi hari yang bermakna untuk umat Islam keseluruhannya. Allah s.w.t menganugerahkan satu lagi peluang untuk beribadat melalui ibadah Qurban sebagai kesinambungan pengorbanan yang telah dilakukan dengan penuh keikhlasan oleh Nabi Ibrahim a.s ke atas anaknya Nabi Ismail a.s. Sesungguhnya ibadah qurban mempunyai makna dan nilai yang amat tinggi di sisi Allah s.w.t.

Saya ucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha kepada para pembaca blog ini. Maaf zahir batin.



July 31, 2011

BENGKEL PENULISAN KREATIF DI SMKA KRIAN, PERAK

PADA hari Rabu 27 Julai 2011 saya menyampaikan ceramah tentang asas penulisan cerpen di Bengkel Penulisan Kreatif bertempat di Sek Men Keb Agama Krian, Semanggol, Perak. Bengkel ini dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara dengan kerjasama Persatuan Penulis Sastera Daerah Krian Perak (PERENTAS).
Ucapan perasmian oleh Dr Abdullah Sani Yahaya, Ketua Satu PERENTAS

Acara sehari itu telah dirasmikan oleh Ketua Satu PERENTAS, Dr Abdullah Sani Yahaya dan disertai oleh 123 orang pelajar tingkatan empat sekolah berkenaan. Sepanjang sesi tersebut, para pelajar telah didedahkan kepada aspek-aspek berkaitan penulisan cerpen yang meliputi berbagai unsur penting yang terdapat di dalam cerpen.
Para peserta memberi tumpuan kepada ceramah yang disampaikan.

Pada sebelah petangnya, mulai jam 2.30 hingga 4.30, saya telah memberikan tugasan kepada para pelajar untuk mengarang sebuah cerpen setiap seorang berdasarkan kepada ceramah yang disampaikan pada sebelah paginya. Setiap pelajar dikehendaki mencari bahan cerita (idea), mengembangkan jalan cerita, melahirkan watak-watak dan seterusnya mengarang berdasarkan tema pilihan masing-masing. Kesemua pelajar telah menyerahkan hasil tulisan masing-masing pada akhir bengkel tersebut.

 
 
 
Para peserta sibuk menyiapkan karya masing-masing semasa bengkel.

Acara penutup telah disempurnakan oleh Tuan Hj Shahbudin, Penolong Kanan Pentadbiran SMKA Kerian yang menyatakan rasa puas hati di atas kesungguhan yang ditunjukkan oleh pelajar sekalian. Beliau juga menyampaikan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada DBPWU dan PERENTAS yang telah memilih SMKA Kerian sebagai tempat bengkel ini dijalankan. Seterusnya beliau menyarankan agar program yang sama dapat diadakan lagi, tetapi kali ini merangkumi para pelajar dari kesemua lapisan (tingkatan satu hingga tingkatan enam).
 Peserta menyerahkan karya masing-masing
Saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada DBPWU kerana memilih saya sebagai penceramah. Terima kasih kepada rakan-rakan PERENTAS yang menyambut kedatangan saya ke Parit Buntar dengan penuh mesra. Terima kasih yang tidak terhingga kepada cikgu Hasnan, Guru Kanan Bahasa Melayu serta guru-guru lain yang telah memberikan layanan istimewa sepanjang satu hari saya di SMKA Krian. Segala budi baik semua pihak akan saya kenang sepanjang hayat.

July 20, 2011

MOTIVASI KEUSAHAWANAN

BULAN Julai ini agak sibuk dengan beberapa siri ceramah. Bermula pada 5 & 6 Julai, satu program ceramah Motivasi Keusahawanan telah diadakan di Hotel Putera Brasmana, Kuala Perlis. Seramai 38 orang peserta telah terlibat, kesemuanya Sahabat AIM Negeri Perlis.

Kemudiannya diikuti dengan program yang serupa pada 7 & 8 Julai bertempat di Hotel Grand Crystal, Alor Setar, Kedah dengan peserta seramai 38 orang dari sekitar Alor Setar dan kawasan-kawasan berhampiran.

Pada 10 - 11 Julai, 14 -15 Julai dan 17 -18 Julai pula saya berada di Kangar, Perlis untuk siri ceramah Motivasi yang hampir serupa. Keseluruhan peserta kali ini ialah seramai 97 orang yang berlangsung di Hotel Sri Garden, Kangar.

Ceramah-ceramah tersebut lebih banyak berkisar kepada motivasi keusahawanan serta nilai-nilai yang perlu ada pada seseorang bakal usahawan. Selain minat serta kesungguhan, para bakal usahawan juga didedahkan dengan pentingnya memiliki sikap dan nilai diri sebagai seorang usahawan. Mereka juga diajak berbincang mengenai perlunya mereka sentiasa bersyukur terhadap anugerah dan nikmat yang dikecapi masa kini.

Secara keseluruhannya kesemua peserta memberikan respons yang menarik terutama sekali program di Kuala Perlis dan Alor Setar. Syabas saya ucapkan kepada semua peserta dan saya mendoakan mereka mendapat kejayaan seperti yang diharapkan.

May 26, 2011

EMPAT SESI DI PROGRAM MEMBASMI KEMISKINAN BANDAR

WALAUPUN mengendalikan empat sesi selama empat malam berturut-turut sedikitpun tidak meletihkan saya kerana sambutan yang diberikan oleh para peserta program amatlah memberangsangkan. Sejak malam pertama lagi saya dapati para peserta Program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan Di Bawah Program Membasmi Kemiskinan Bandar anjuran Yayasan Pendidikan dan Vokasional Wanita Malaysa (YPVWM) amat berminat untuk mengikut sesi yang saya kendalikan itu.

Bertempat di Regency Hotel Alor Setar seramai 47 orang peserta telah mengikuti sesi ceramah motivasi yang saya kendalikan selama empat malam (22hb - 25hb Mei 2011) berturut-turut. Program dua jam setiap sesi itu saya isikan dengan ceramah motivasi yang menyentuh beberapa aspek penting bertujuan membangkitkan semangat para peserta sekalian. Bukan itu sahaja ceramah saya juga menyelitkan hal-hal yang berkaitan dengan persediaan fizikal, mental, emosi dan kerohanian yang perlu ada di dalam diri seseorang yang ingin menceburi bidang perniagaan dan keusahawanan.

Ceramah saya sepanjang empat hari tersebut adalah merupakan sisipan kepada program latihan yang diberikan kepada para peserta oleh tenaga pengajar yang didatangkan oleh YPVWM. Menurut Penyelaras Programnya, Puan Aishah Abdullah, para peserta tersebut adalah dipilih daripada mereka yang berdaftar dengan e-Kasih bagi membantu mereka memperolehi kemahiran supaya nanti dapat membantu mereka meningkatkan pendapatan pada masa hadapan.

Para peserta yang majoritinya adalah wanita telah mengikuti program ini selama 12 hari keseluruhan meliputi bidang jahitan, masakan dan solekan. Namun terdapat juga peserta lelaki ikut serta di dalam program tersebut.

Ceramah saya pada malam pertama bertajuk Mencari Nilai Diri, diikuti ceramah bertajuk Mengenal Diri dan Sikap Peribadi pada malam kedua. Seterusnya pada malam ketiga ceramah bertajuk Membina Matlamat Menuju Kecemerlangan dan pada malam terakhir berjudul Makna Kebahagiaan.

Saya berharap para peserta sekalian telah dapat mengutip intipati daripada ceramah-ceramah saya itu untuk dijadikan pedoman di dalam mengendalikan kehidupan masing-masing termasuklah untuk mereka mengendalikan perniagaan mereka.

Apapun, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Penyelaras Program, Puan Aishah Abdullah yang telah sudi menjemput saya mengisi ruang program yang beliau kendalikan itu. Juga tidak ketinggalan jutaan terima kasih kepada Yayasan Pendikan dan Vokesional Wanita Malaysia yang telah sanggup memberi peluang kepada saya menyampaikan ceramah pada program tersebut. Saya berharap pihak Yayasan berpuas hati dengan persembahan saya.

Kepada para peserta saya ucapkan ribuan terima kasih kerana memberi peluang kepada saya menerobos masuk ke dalam minda dan jiwa anda semua dengan ceramah-ceramah saya semoga dapat memberi inspirasi kepada anda semua untuk bergerak lebih jauh lagi di dalam mengejar kejayaan.

Selamat berjaya!
Para peserta sedang mendengar ceramah yang disampaikan.
 Para peserta mengambil bahagian secara aktif semasa sesi ceramah dijalankan.

 
Latihan Kerja Berkumpulan
 Ketua Kumpulan membuat pembentangan di atas pentas.

Bergambar ramai bersama para peserta.

May 10, 2011

BERCERAMAH KEPADA PENGHUNI PENJARA

SEMASA menerima panggilan telefon daripada pegawai Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara yang menjemput saya menyampaikan ceramah kepada banduan di Penjara Seberang Prai, hati saya rasa ragu-ragu, tetapi saya bersetuju menerima jemputan tersebut. Beberapa hari sebelum tarikh program itu, saya membuat persiapan bahan-bahan ceramah. Walaupun saya sudah banyak kali memberi ceramah tentang penulisan kreatif (puisi dan cerpen), saya mencari pendekatan baharu kerana inilaha kali pertama saya berceramah kepada banduan.

Pertamanya, saya mengambil kesimpulan untuk tidak menyebut perkataan 'banduan' tetapi menggunakan 'penghuni penjara' apabila berhadapan dengan para peserta Bengkel Penulisan Kreatif itu nanti. Keduanya, saya mahu menjadikan ceramah selama dua hari itu nanti sebagai ceramah yang santai, tidak terlalu akademik sifatnya. Lalu saya memilih beberapa lagu puisi tradisional untuk diperdengarkan kepada para peserta bengkel itu nanti.

Tanpa sebarang maklumat lengkap tentang latar belakang para peserta yang akan mengikuti bengkel saya nanti, saya tiba di Kompleks Penjara Seberang Prai tepat jam 8.15 pagi 5hb Mei 2011, hari pertama bengkel tersebut dijalankan, dan disambut oleh Tuan Hidayat, pegawai yang bertanggung jawab tentang program tersebut. Setelah menjalani pemeriksaan oleh pegawai-pegawai yang bertugas, saya dibenarkan masuk ke dalam kawasan penjara dengan diiringi oleh seorang pegawai menuju ke Dewan PPI bertemu dengan Ustaz Firdaus, seorang pegawai JAKIM yang bertugas di penjara tersebut. Ustaz Firdaus yang dibantu oleh Ustaz Isa serta Syaiful, salah seorang kakitangan Jabatan Penjara menyambut ketibaan saya dengan mesra sekali. Kami bersalaman dan berkenalan.

"Maaflah tuan, semua peserta masih belum sampai. Kita tunggu sekejap ya", Ustaz Firdaus nampak sedikit resah kerana ketika itu sudah melangkaui waktu sepatutnya acara dimulakan. Pada waktu itu para peserta lelaki sudah mengambil tempat duduk masing-masing di dalam dewan terbuka itu. Menurut Ustaz Firdaus, kesemua peserta ialah seramai 70 orang, lelaki dan perempuan. Saya teruja apabila diberitahu bilangan peserta seramai itu walaupun agak kekok dibahasakan sebagai 'tuan'.

Agak lama juga kami menunggu, kemudian baharulah peserta-peserta wanita seramai 12 orang berjalan masuk ke dalam dewan dengan dikawal oleh tiga orang pegawai penjara wanita. Semua penghuni penjara memakai pakaian berbeza warna; merah, hijau, biru dan putih mengikut kategori hukuman masing-masing. Mengikut makluman yang saya terima, penghuni yang memakai pakaian berwarna merah adalah penghuni tahap satu, hijau tahap dua, biru tahap tiga manakala warna putih adalah penghuni tahanan singkat. Ada juga di antara mereka yang memakai pakaian berwarna merah tetapi dengan jalur warna hitam pada baju mereka. Itu menandakan penghuni berkenaan pernah melarikan diri dan ditangkap semula. Kebanyakan daripada mereka adalah pesalah kes narkotik, kes pergaduhan serta kes mencuri dan 'mat rempit'.

Setelah semua peserta hadir dan peralatan audio visual siap dipasang, Ustaz Firdaus memulakan majlis dengan memperkenalkan saya sebagai penceramah sebelum saya memulakan tugas saya pada hari pertama itu.

Hari pertama saya berceramah tentang penulisan puisi. Seperti biasa saya sentuh tentang definisi puisi, jenis-jenis puisi, unsur-unsur di dalam puisi, gaya bahasa dan sebagainya. Semasa memberi penerangan tentang puisi tradisional, saya perdengarkan bagaimana syair, gurindam, seloka dan nazam dilagukan. Saya dapati ketika itu, kesemua peserta teruja mendengarnya. Saya pasti kesemua mereka belum pernah mendengar gurindam, seloka dan nazam dilagukan sebelum ini. Kemungkinan mereka pernah mendengar syair didendangkan. Sesi berhenti jam 12.30 tengah hari setelah saya sampaikan kepada mereka bagaimana untuk menulis sesebuah puisi moden (sajak) bermula daripada mencari bahan, memilih tema, membina ungkapan puitis sehinggalah memberikan judul kepada puisi.

Sesi sebelah petang bermula semula jam 2.30 petang. Saya berikan masa kepada para peserta mencipta sajak mengikut gaya masing-masing. Apabila semua mereka siap menghasilkan puisi masing-masing, saya jemput beberapa peserta untuk deklamasikan puisi mereka. Pada ketika itulah saya dapati di dalam diri sebahagian peserta itu mempunyai bakat semula jadi yang terpendam selama ini. Mungkin yang kurang pada mereka ialah asuhan dan bimbingan. Di akhir hari pertama saya menerima 76 buah coretan puisi para peserta yang membuatkan saya sibuk pada malam itu meneliti hasil luahan perasaan mereka. Malam itu saya bermalam di Rumah Tetamu Kompleks Kediaman Jabatan Penjara Seberang Prai yang terletak di seberang jalan berhadapan dengan Kompleks Penjara.

Hari kedua ialah ceramah dan bengkel tentang penulisan cerpen pula. Seperti hari pertama saya mulakan dengan ceramah dan pengenalan tentang cerpen sehinggalah bagaimana menulis sebuah cerpen. Pada sebelah petang, selepas solat Jumaat, sesi bermula jam 3.00 hingga 4.30 petang. Saya berikan tugasan kepada para peserta menulis cerpen pula. Walaupun pada mulanya saya hanya memilih hasil tulisan beberapa orang peserta sahaja yang saya dapati berpotensi, tetapi pada akhir majlis semua peserta menyerahkan tulisan masing-masing kepada saya. Sebanyak 68 buah hasil tulisan telah diserahkan untuk saya baca dan nilai.

Kesimpulan yang dapat saya buat setelah dua hari bersama-sama penghuni penjara yang menjadi peserta Bengkel Penulisan Kreatif itu saya dapati ramai di kalangan mereka yang berminat serta mempunyai ide untuk menulis. Cuma mereka tidak mempunyai kemahiran berkarya dengan mengikut kaedah yang betul. Mereka kurang mahir untuk mengembangkan ide menjadi sebuah karya yang baik dan menarik. Tetapi jika mereka diberikan bimbingan serta tunjuk ajar berterusan rasanya tidak mustahil Jabatan Penjara dapat melihat karya-karya penghuninya diterbitkan. Malah itulah yang menjadi hasrat Pengarah Jabatan Penjara Seberang Prai, yang ingin melihat hasil karya peserta-peserta dibukukan. Itulah yang dinyatakan kepada saya semasa saya sempat berbual ringkas dengan beliau pada hari pertama program tersebut.

Saya akan serahkan hasil karya para peserta kepada DBPWU untuk tindakan selanjutnya. Maaflah kerana tidak dapat menyiarkan gambar sepanjang bengkel tersebut kerana saya tidak dibenarkan untuk mengambil sebarang gambar. Saya tinggalkan Kompleks Penjara Seberang Prai tepat jam 5.15 petang 6hb Mei 2011, dengan sejuta kenangan yang sukar dilupakan.

April 4, 2011

SUARA PERTAMA

Gambar hiasan

PAGI tadi saya menelefon telefon bimbit seorang sahabat lama tetapi dia tidak menjawab. “Mungkin dia sedang bermesyuarat agaknya”, bisik hati kecil saya. Sebagai seorang Arkitek, rakan lama saya itu sering menghadiri mesyuarat di merata tempat di mana ada projek pembangunan yang melibatkan firmanya sebagai konsultan.

Saya dail pula nombor telefon pejabatnya. Setelah berdering beberapa kali, talian kedengaran diangkat. Saya mendengar dengan penuh harapan jawapan yang akan diterima. Tetapi malang sekali suara yang menyambut panggilan saya itu terlalu lemah dan hampir tidak kedengaran.

Lalu saya terpaksa meninggikan suara bertanya benarkah itu pejabat rakan tersebut. Beberapa detik kemudian barulah kedengaran suara yang semakin jelas.

Saya hairan kenapa kakitangan yang menyambut panggilan telefon saya itu begitu tidak bermaya? Apakah yang menyebabkan dia bersuara begitu perlahan sekali sehingga saya terpaksa meninggikan suara bertanya kalau-kalau saya tersilap membuat panggilan ke pejabat lain? Mungkin ada sebab tersendiri kakitangan tersebut bersikap sedemikian.

Walau apapun, perkara sebegitu tidak seharusnya berlaku. Penyambut panggilan telefon (telefonis) atau penyambut tetamu di mana-mana pejabat tidak sewajarnya menyembunyikan suaranya sehingga menyukarkan pemanggil mendengar butir katanya. Dia sebaliknya memberikan kesan pertama kepada pemanggil melalui intonasi suaranya kerana itu akan memberikan kesan seterusnya.

Dengan suara yang malap dan hampir tidak kedengaran akan membuatkan pemanggil merasa seakan-akan pejabat tersebut tidak berpenghuni. Suara tidak bermaya kakitangan tersebut akan menyelinap ke hati pemanggil yang akan terus membuat pelbagai andaian negatif tentang pejabat tersebut.

Telefonis atau penyambut tetamu sewajarnya mempunyai sikap bahawa setiap pemanggil itu adalah pembawa rezeki kepada syarikat tempat dia bekerja itu. Dia sepatutnya mengangkat telefon dan menjawab panggilan dengan suara yang manis serta bertenaga. Menyapa si pemanggil dengan sebutan yang jelas dan bersopan. Tidak rugi jika dia bersuara sedemikian kerana itu akan menggambarkan sikapnya terhadap tugas yang diberikan kepadanya.

Sebelum saya meletakkan ganggang telefon, sempat saya berpesan kepada telefonis di pejabat sahabat lama saya itu, “lain kali jawab panggilan telefon dengan suara yang lebih ceria, jangan macam berbisik sahaja”. Saya berharap teguran saya itu akan mengubah sikap kakitangan tersebut.

March 4, 2011

2 JAM DI INSANIAH, ALOR SETAR










MENYANGGUPI jemputan pada saat-saat akhir sebenarnya mencemaskan saya. Tetapi semasa saya dihubungi AJK Akademi Seni dan Penulisan Kreatif, Kolej Universiti INSANIAH, Alor Setar, Sdr Adibah pada petang kelmarin saya rasa terpanggil untuk bersetuju memberikan satu ceramah pada pukul 3.00 petang hari ini, 4 Mac 2011.

Lalu seusai solat Jumaat, saya bergegas ke INSANIAH setelah pada sebelah paginya saya berada di Kem Belantara Elit bersama pengawas-pengawas SMK Tunku Bendahara, Kodiang sehingga jam 11.30 pagi.

Sewaktu saya sampai di depan bilik kuliah D104, saya disambut oleh seorang AJK penganjur, seorang anak muda berkopiah yang kelihatan amat berhemah dan bersopan. Bilangan peserta yang dimaklumkan pada saya pada petang kelmarin dan malamnya, ialah seramai 30 orang, namun kehadiran pada petang tadi kurang daripada bilangan yang dinyatakan. Apapun, Alhamdulillah kerana majlis dapat dijalankan dengan sempurna dan memuaskan semua pihak.

Saya berceramah tentang 'Asas Penulisan Skrip Persembahan Teater' sepertimana yang dihajati oleh pihak penganjur. Saya menyentuh tentang definisi skrip serta teater itu sendiri sebelum saya bercerita tentang perkembangan teater di negeri Kedah yang bermula seawal tahun 1970-an dahulu lagi. Saya perkenalkan kepada para peserta beberapa kumpulan teater yang bergiat aktif pada era tersebut termasuk juga beberapa nama individu yang menyumbang kepada gahnya teater di Kedah pada waktu itu.

Selanjutnya saya membicarakan komponen-komponen penting yang perlu ada di dalam sesebuah skrip persembahan teater. Perkara pokoknya ialah perlu ada cerita yang mahu ditulis atau diolah menjadi skrip persembahan. Tanpa cerita, skrip tidak mungkin dapat ditulis. Begitu juga dengan olahan jalan ceritanya, yang bermula dari satu titik berganjak ke titik kedua, ketiga dan seterusnya. Jalan cerita seharusnya tidak berputar belit sehingga mengganggu kefahaman pembaca/penonton nantinya.

Aspek dialog juga perlukan perhatian mendalam di mana kekuatan cerita tidak akan tertonjol tanpa dialog-dialog yang kuat, padat dan difahami. Gaya bahasa memainkan peranan penting di dalam menghasilkan dialog-dialog di dalam skrip. Seseorang penulis perlu mahir dan mampu mengetengahkan gaya bahasa yang segar dan menarik sesuai dengan watak-watak yang dilahirkan. Gaya bahasa juga akan dapat membantu menjadikan watak-watak lebih terserlah apabila pementasan diadakan.

Di dalam skrip juga perlu ada gambaran-gambaran yang membantu memahamkan penonton tentang cerita yang ingin dipertontonkan. Selain itu, gambaran-gambaran suasana yang ditulis di dalam skrip dapat membantu Pengarah Persembahan memahami skrip dengan lebih jelas lagi. Juga ia akan membantu pereka set, juruteknik, pemuzik dan sebagainya untuk menterjemahkan maksud cerita menjadi lebih bersifat 'real'.

Saya dapati ada bakat-bakat di kalangan peserta yang boleh diasah dan diasuh. Berdasarkan latihan singkat menulis skrip yang saya berikan, beberapa orang peserta telah mampu menghasilkan permulaan cerita yang agak baik. Mereka perlu diberikan pendedahan yang lebih sistematik dan tersusun supaya bakat kreatif mereka itu dapat diketengahkan.

Majlis disusuli dengan sebuah persembahan deklamasi puisi yang menarik oleh salah seorang mahasiswa. Saya yakin jika dia diasuh dengan baik, dia mampu muncul sebagai deklamator yang berjaya. Kemudiannya dipersembahkan juga video tentang Akademi Seni dan Penulisan Kreatif, INSANIAH untuk tontonan.

Sewaktu saya minum bersama Pengerusi Akademi Seni dan Penulisan Kreatif dan dua orang lagi AJKnya, saya mendapat maklum bahawa salah seorang peserta telahpun menghasilkan dua buah novel yang diterbitkan oleh syarikat penerbitan terkemuka, iaitu PTS Publishing Sdn Bhd. Manakala salah seorang AJK pula telah menghasilkan beberapa buah puisi yang telah tersiar di dalam majalah dan akhbar. Saya amat kagum dengan kebolehan mereka. Alangkah ruginya jika bakat mereka terabai dan terbiar tanpa dipupuk dengan sempurna.

Saya berharap akan ada lagi peluang untuk saya mendekati mereka melalui sesi-sesi seumpama ini mungkin di dalam bidang penulisan kreatif yang lain seperti puisi, cerpen ataupun novel.

Alhamdulillah, majlis berjalan dengan sempurna. Saya doakan Akademi Seni dan Penulisan Kreatif INSANIAH akan terus giat menjalankan kegiatannya dari masa kesemasa.